Erdogan dakwa Mursi dibunuh

Seorang lelaki memegang potret Mursi ketika pengebumian simbolik pemimpin itu di Masjid Fatih di Istanbul kelmarin.
Seorang lelaki memegang potret Mursi ketika pengebumian simbolik pemimpin itu di Masjid Fatih di Istanbul kelmarin.
A
A
A

ANKARA - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan kerajaan Mesir wajar dibicarakan di mahkamah antarabangsa berhubung kematian bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi.

Presiden pertama yang dipilih melalui proses demokrasi dan digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada 2013 itu dilaporkan pengsan ketika menghadiri perbicaraan di Kaherah pada Isnin lalu.

"Mursi terbaring di atas lantai selama 20 minit dan pihak berkuasa langsung tidak membantu beliau. Saya tidak percaya ia adalah kematian biasa. Mursi telah dibunuh.

"Kami akan mengikuti perkembangan isu tersebut dan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan kerajaan Presiden Abdel Fattah al-Sisi dibicarakan atas kematian Mursi," kata Erdogan kepada para penyokongnya ketika menghadiri perhimpunan sempena kempen pilihan raya semula di Istanbul semalam.

Beliau turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan terhadap perkara itu dan akan membangkitkan isu tersebut ketika Sidang Kemuncak G20 di Jepun pada akhir bulan ini.

Selain itu, Erdogan juga mengecam tindakan pegawai di Mesir kerana hanya membenarkan kumpulan kecil ahli keluarga Mursi menghadiri pengebumian beliau.

"Mereka sememangnya pengecut kerana tidak berani menyerahkan jenazah beliau kepada keluarganya," tegas Erdogan.

Kelmarin, Mesir mendakwa PBB cuba mempolitikkan kematian anggota Gerakan Ikhwanul Muslimin terbabit selepas badan antarabangsa terbabit menggesa satu siasatan menyeluruh dan telus dilakukan ke atas kematian Mursi.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang kematian dalam tahanan yang berlaku secara tiba-tiba perlu disusuli dengan siasatan segera dan telus yang dilakukan oleh badan bebas untuk menjelaskan sebab kematian," kata jurucakap Suruhanjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia, Rupert Colville. - Agensi