Kelantan, Terengganu, ikon pentadbiran Pas


(Dari kiri) Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengangkat kad keahlian Pas sewaktu Muktamar Tahunan Ulamak Pas hari ini diiringi Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohammad Nik Zawawi Salleh. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR, YUSRIZAL YUSOF
(Dari kiri) Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengangkat kad keahlian Pas sewaktu Muktamar Tahunan Ulamak Pas hari ini diiringi Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohammad Nik Zawawi Salleh. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR, YUSRIZAL YUSOF
A
A
A

KUANTAN - Kelantan dan Terengganu menjadi lambang ketegasan Pas melaksanakan pentadbiran berpaksikan syariah.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, keseriusan Pas di dua negeri ini dalam memartabatkan syariat ALLAH bukti perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas, sepanjang zaman.

Menurutnya, Kelantan sejak hampir 30 tahun tiada aktiviti kelab malam dan pusat perjudian yang bertapak sewenang-wenangnya.

Begitu juga di Terengganu apabila sebatan syariah telah dipraktikkan setelah Penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi memperuntukan kuasa perlaksanaan hudud dan qisas.

"Kejayaan-kejayaan lain yang berlaku sekarang adalah pemindahan simpanan tetap kerajaan negeri Kelantan daripada sistem perbankan konvensional kepada sistem perbankan Islam.

"Pas juga melaksanakan pemerkasaan tulisan jawi di papan-papan iklan dan papan tanda jalan selain komited melaksanakan pelbagai model kebajikan Islam seperti Skim Al-It’am, Bait Dhu’afa’, Takaful Kifalah, Skim Al-Ziwaj dan lain-lain pencapaian serta amanah kepimpinan yang dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfudz Mohamed di Wisma Belia Indera Mahkota di sini pagi tadi.

Dalam ucapannya, Mahfudz menegaskan perjuangan Pas tidak retorik dan hanya manis ketika berbicara tetapi serius berdasarkan peruntukan kuasa di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua negeri ini membuktikan bahawa Pas tidak pernah ketandusan para pimpinan yang berkaliber serta golongan teknokrat yang ramai, bagi mendokong perjuangan Islam.

Selain daripada itu katanya, keunikan dan keistimewaan negeri di bawah pemerintahan Pas ialah sentiasa subur dengan kuliah dan penghayatan agama.

"Kelantan subur dengan medan ilmunya sejak sekian lama yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan yang juga mantan Mursyidul Am Pas.

"Begitu juga di Terengganu apabila Menteri Besar baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memegang tampuk kepimpinan negeri, beliau juga mengisytiharkan bahawa hari Jumaat adalah hari ilmu agar lebih merancakkan medan ilmu yang sedia ada di Terengganu," katanya.

Beliau meminta seluruh kepimpinan termasuk wakil rakyat Pas terus komited dengan agenda tarbiyah Pas kerana ia adalah kunci rahsia kejayaan.