Manuskrip Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM didedah

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah manuskrip bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ didedahkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul.

Menurut Johari, manuskrip buku tersebut yang difahamkan ditulis oleh Yahaya Ismail, didapati sarat dengan fitnah, tohmahan keji yang amat dahsyat kepada Anwar.

“Fitnah-fitnah tersebut berlegar tentang tohmahan homoseksualiti (muka surat 7,8,9,10,77,91,107), korupsi (muka surat 43,89), ejen Zionis dan Amerika Syarikat (muka surat 19,60).

“Dalam manuskrip itu juga terdapat elemen mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

“Tindakan penulis bukan sahaja mempertikai malah memperlekehkan institusi Raja-raja Melayu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini petang tadi.

Tambah Ahli Parlimen Sungai Petani itu, dalam Bab 15 manuskrip tersebut, penulis mempromosi seorang pemimpin yang beliau fikirkan layak untuk diangkat menjadi perdana menteri.

“Mana-mana pihak berhak dan bebas untuk mengutarakan pandangan tentang siapa yang layak untuk menjadi perdana menteri.

“Namun demikian tindakan penulis menjulang pemimpin tersebut dalam pada masa sama memfitnah Anwar adalah tindakan yang amat tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip kebebasan memberi pandangan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Johari, beliau tidak mengenali penulis tersebut namun beliau difahamkan Yahaya adalah seorang penulis upahan.

“Saya difahamkan penulis berumur 70 tahun. Jadi bayangkanlah apa yang akan jadi kepada anak-anak muda kalau penulisan murahan sebegini dihidangkan kepada mereka,” katanya.

Pada 8 Julai 2005, Datuk Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Ampang kerana didapati bersalah menulis maklumat palsu dalam buku berkenaan.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan penulis itu membayar sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar dalam satu saman fitnah.

Bagaimanapun, pada 30 Ogos 2005, Khalid Jafri telah disahkan meninggal dunia akibat daripada penyakit kencing manis yang dihadapi beliau.