Keputusan Zahid, kemenangan besar buat Tun M

Nordiana Suhaileen (kanan) bersama Ahmad Zahid dan ketua-ketua sayap Umno Bahagian Bagan Datuk.
Nordiana Suhaileen (kanan) bersama Ahmad Zahid dan ketua-ketua sayap Umno Bahagian Bagan Datuk.
A
A
A

IPOH - Puteri Umno Bahagian Bagan Datuk menyifatkan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berehat seolah-olah 'kemenangan besar' kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Nordiana Suhaileen Azmi berkata, usaha Mahathir selama ini menggunakan pelbagai pihak dari dalam dan luar Umno untuk memberi tekanan kepada Ahmad Zahid membuahkan hasil.

Beliau berkata, pihaknya melihat keputusan tersebut mendukacitakan kerana Ahmad Zahid yang dikenali tidak sesekali gentar dan tunduk dengan asakan serta tekanan pihak musuh.

"Namun beliau terpaksa mengalah dengan desakan anak-beranak, adik-beradik dalam keluarga Umno. Ini adalah kerana kecintaan beliau kepada parti keramat Umno tiada tolok bandingnya.

"Mengalah bukan bererti kalah. Mengalah demi keharmonian keluarga besar Umno. Beliau akan sentiasa menjadi wira kami," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk membuat kejutan dengan menyerahkan tugas sebagai presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menurutnya, Puteri Umno Bagan Datuk akan tetap berdiri teguh di belakang Ahmad Zahid ketika susah mahupun senang dan menghormati setiap keputusan yang diambil.

Nordiana Suhaileen berkata, pihaknya percaya semua keputusan yang dibuat untuk kebaikan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Sebagaimana amanat beliau, saya juga berharap agar segala polemik berkaitan dengan kepimpinan dapat dihentikan, tiada lagi pemimpin yang akan keluar meninggalkan Umno seperti yang telah dijanjikan.

"Semoga seluruh pemimpin dan pendokong wadah perjuangan Umno di semua peringkat sehinggalah ke peringkat akar umbi dapat kembali merapatkan saf dan lebih fokus kepada agenda pemerkasaan parti dan gerak kerja bagi memenangi PRU15," katanya.