Zed Zaidi timang anak kembar di bulan Syawal

No Image Caption
A
A
A

PELAKON, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali Zed Zaidi, 38, dan isteri Natalia Mustafa, selamat menimang cahaya mata kembar perempuan di Hospital Thomson, Kota Damansara, Selangor, sekitar jam 1 tengah hari, hari semalam.

Menurut Zed Zaidi, dia bersyukur isteri dan kedua cahaya mata perempuannya dalam keadaan sihat walafiat.

"Dulu masa isteri hamil anak pertama, saya pernah bergurau kononnya dapat anak kembar tapi bila buat ujian imbasan kehamilan dapat seorang sahaja, iaitu anak lelaki.

"Jadi, bila hamil lagi sekali selepas tujuh tahun dapat khabar bakal dapat anak kembar saya rasa teruja sangat.

"Masa trimester pertama buat imbasan di klinik nampak satu sahaja, namun selang beberapa minggu scan lagi sekali dapat kembar, alhamdulillah," ujarnya.

Begitupun, pelakon itu turut memberitahu ketika mendapat berita isterinya hamil anak kembar dia berasa sedikit seram kerana dikhuatiri keselamatan anak terganggu.

"Agak seram juga bila dengar isteri yang hamil kembar ini ada risikonya yang mana kemungkinan ada bayi yang tak dapat survive.

"Mendengarkan hal itu, saya jaga isteri dan kandungan sepanjang kehamilan dengan memberikan makan minum secukup sampailah lahir anak kembar kami," kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Zed Zaidi
Zed Zaidi

Tambah Zed Zaidi lagi, isterinya selamat melahirkan anak menerusi proses pembedahan.

"Saya saksikan sendiri cabarannnya bersalin secara pembedahan. Rasa respek dengan perempuan dan pada masa sama bangga dapat isteri yang kuat, selama 37 minggu bawa anak kembar ke sana sini," luah Zed bersyukur.

Ditanya nama anak, Zed berkata akan berkongsi kepada orang ramai bila tiba masa yang sesuai.

Dalam perkembangan lakonan, Zed yang juga merupakan presiden Persatuan Seniman Malaysia akan kembali aktif selepas memberikan sepenuh tumpuan kepada isteri dan anak kembarnya.

"Saya cuba buat yang mana terbaik, saya akan amek. Lagipun, baru sahaja dapat anak kembar, dari segi penjagaan dan pengalaman baharu ini mungkin lebih mencabar. Saya kena biasakan dahulu sampai masa sesuai saya kembali aktif dengan lebih serius di bidang seni hiburan," akhirinya.

Pasangan Zed dan isteri selamat mendirikan rumah tangga pada 29 April 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki, iaitu Ryan Ziqry yang kini berusia tujuh tahun.