Pas sokong larangan bahas video 'hanyir' di Parlimen

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kali Ke-60 bermula hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kali Ke-60 bermula hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Pas menyokong keputusan Dewan Rakyat untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen membahaskan isu berkenaan klip video intim didakwa mirip seorang menteri kanan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 1 Julai ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan pendirian bahawa Pas tidak akan campur tangan dalam isu video ‘hanyir’ dan jijik seumpama itu dan bertegas ia tidak sewajarnya dibiarkan berpanjangan sehingga mengundang perbalahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, jalan terbaik yang perlu diambil semua pihak ialah dengan memberi laluan kepada proses penyiasatan video tersebut.

“Saya setuju dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof melarang isu video intim ini dibahaskan di Parlimen, kerana ia bersifat tuduhan selagi belum dibuktikan di mahkamah. Perkara ini (video intim) tidak perlu dipanjangkan menerusi media akan menimbulkan polemik. Sedangkan kita tahu isu ini bukan penting untuk rakyat, mereka lebih ingin tahu soal harga barang turun, kos sara hidup dikawal dan peluang pekerjaan dijanjikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas ingatkan ahlinya tidak sebar video hanyir

“Parti (Pas) sudah buat kenyataan, kita tidak akan campur tangan, video hanyir, jijik kita tidak boleh buat pertuduhan tanpa saksi dan bukti.

“Arahan parti dipatuhi, kita tak ambil ‘port’ pun mengenai isu ini. Kita tak boleh hakimi mereka. Bagi kita, kena hentikan isytihar integriti ahli politik rosak, ia menghilangkan keyakinan rakyat... budaya ini mesti dihentikan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-60, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kali Ke-60 bermula hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kali Ke-60 bermula hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada 17 Jun lalu dilaporkan melarang Ahli Parlimen daripada mengemukakan atau menimbulkan isu video klip intim dikaitkan seorang menteri kanan pada persidangan Dewan Rakyat, mulai 1 Julai ini.

Mohamad Ariff berkata, tindakan membangkitkan isu itu bercanggah dengan peraturan Parlimen memandangkan kes penularan video terbabit masih dalam siasatan polis.

Tuan Ibrahim menegaskan, pendirian Pas untuk tidak segera menghukum sebelum diberikan keadilan masih kekal seperti yang pernah dicerminkan parti berhubung isu seks luar tabii dikaitkan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan polemik terowong membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebelum ini.

“Masa Anwar dan Guan Eng pun sama. Selagi mahkamah belum putuskan bersalah, kita kekal dengan pendirian (untuk tidak jatuhkan hukum kepada mana-mana pihak).

“Cuma diharapkan supaya politik kotor seperti ini dihentikan kerana masyarakat dunia sedang melihat apa yang berlaku di Malaysia.

“Mereka tertanya-tanya, Malaysia tiada kerja lain ke? Kita sepatutnya kena tengok benda (isu) lebih besar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mengemukakan jemputan kepada MCA dan MIC sebagai rakan komponen BN untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-65, di Kuantan.

Bagaimanapun, katanya, segelintir perwakilan daripada parti komponen BN mungkin tidak dapat menghadirkan diri kerana mempunyai jadual masing-masing.

“Konsep Pas, kita terima semua pihak, sama ada MCA atau MIC kerana apa yang penting ialah untuk melihat masa depan dan tidak terpalit dengan sentimen perkauman.

“Bagi mewujudkan kerjasama, kita ada buat kunjungan ke pejabat MIC dan MCA, malah ada juga perwakilan mereka yang bertandang ke markas Pas,” katanya.