X

Kindly register in order to view this article
!

Demi Islam Pemuda Pas terbuka kerjasama dengan sesiapa sahaja

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berucap di Muktamar Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Kali Ke- 60. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

KUANTAN – Pemuda Pas terbuka menjalinkan kerjasama dengan sesiapa sahaja yang memahami dan menerima prinsip ‘Demi Islam’, kata Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, sejarah politik Pas penuh warna-warni serta melalui jalan yang penuh ranjau malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Pas adalah parti politik di dalam Malaysia yang paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip.

“Pas pernah bersama UMNO dan pernah juga pernah berseteru dengan UMNO. Pas pernah berpatah arang berkerat rotan dengan DAP, Pas juga pernah bersahabat dengan DAP. Pas pernah berkawan dengan PKR dan Pas tidak ragu-ragu memutuskan hubungan dengan PKR.

“Dalam semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, ada yang tidak bersetuju tetapi diam dalam reda dan ada yang membantah serta lari dari perjuangan. Namun apabila prinsip menjadi dasar perjalanan parti, kesan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana ia milik ALLAH," katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City (BGRC) hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, ancaman terhadap akidah umat Islam semakin banyak buat masa kini.

Jelasnya, ia termasuk keruntuhan akhlak dan moral anak muda semakin menjadi-jadi dengan budaya hubungan sejenis yang berleluasa tanpa kawalan.

Muhammad Khalil menambah ia disuburkan lagi dengan kewujudan ikon tempatan sama ada artis atau usahawan yang tanpa segan silu mempromosi budaya berkenaan.

“Perbuatan itu menyebabkan jati diri umat Islam semakin terhakis sehingga tiada lagi sensitiviti terhadap kemaksiatan yang kita lihat berlaku secara berleluasa.

“Mereka yang ditugaskan untuk menjaga agama Islam pula lebih prihatin dan beriya-iya mempertahan agama lain serta lebih suka berdiam diri ketika agama Islam dihina.

“Ia jelas kepada kita bahawa Islam diserang dari pelbagai sudut, iaitu dari sudut akidah, akhlak, sistem perundangan dan politik,” katanya.

Muhammad Khalil menegaskan, apa yang lebih penting setiap tindakan yang Pas lakukan sepanjang sejarah politiknya sama ada bertahaluf atau berta’awun disandarkan kepada prinsip utama yang digariskan di dalam perlembagaan Pas iaitu demi mempertahan Islam.

Hal demikian katanya, dalam mencapai matlamat ini, Pas sentiasa menyedari bahawa penguasaan politik, ekonomi dan sosial sangat penting dan ia perlu di dokong oleh kesatuan dan kesepakatan yang erat tanpa mengira ideologi.

“Dengan penguasaan politik, ekonomi dan sosial ini akan menjadikan kita ummah yang mampu berdiri sendiri dan gagah dalam berdepan dengan ancaman luaran dan dalaman kepada agama Islam dan pemuda Islam.

“Justeru, Muktamar Tahunan Pemuda Pas kali ini mengangkat “Demi Islam” sebagai tema dengan hasrat yang besar supaya para pemuda kembali semula kepada prinsip teras perjuangan Pas “Demi Islam” yang akan menjadi panduan dalam setiap tindakan kita. Ia juga akan menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa hadapan.

“Sesiapa sahaja yang memahami dan menerima prinsip ini, Pemuda Pas Malaysia terbuka untuk mengadakan kerjasama,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!