Perlu RM300 juta pasang pembahagi jalan di Batu Pahat

Anthony (kanan) sewaktu mempengerusikan Program 'My Safe Road' di UTHM, Batu Pahat.
Anthony (kanan) sewaktu mempengerusikan Program 'My Safe Road' di UTHM, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Kos sebanyak RM300 juta diperlukan untuk memasang pembahagi jalan sepanjang 17 kilometer (KM) di Jalan FT50 Batu Pahat-Kluang bagi mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut di laluan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau juga akan berbincang dan melakukan rundingan bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian bagi memastikan peruntukan tersebut dapat diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) pada tahun hadapan.

"Saya difahamkan pojek menaik taraf Jalan FT50 ini sebelum ini telah dilakukan dan melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama untuk kerja-kerja melebarkan jalan dan fasa kedua bagi kerja pembinaan pusingan U telah siap manakala fasa ketiga bagi membina pembahagi jalan ini tidak dapat dilakukan di semua kawasan kerana kekangan kewangan.

"Sebab itu perlu kerjasama di antara Kementerian Pengangkutan (MoT) dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) kerana MoT bertanggungjawab dengan keselamatan jalan raya manakala KKR dari segi infrastruktur jalan dan kita berharap cadangan ini dapat dibawa kepada MEA untuk diluluskan pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Program 'My Safe Road' di Bilik Mesyuarat Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini.

Turut hadir ialah Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Wahid Razzaly; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Wong Yau Duenn; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim.

Menurutnya, melalui program 'My Safe Road', kadar kemalangan di daerah ini berjaya dikurangkan sebanyak 20 peratus atau 42 nyawa pada tahun 2017 iaitu sebanyak 165 kematian berbanding 207 kematian pada tahun 2016.

"Bagaimanapun, sejak program ini diperlahankan pada tahun 2017, jumlah kematian jalan raya di daerah ini pada tahun 2018 telah menunjukkan sedikit peningkatkan sebanyak lapan peratus iaitu sebanyak 178 kematian dan bagi suku tahun pertama tahun ini, sebanyak 44 nyawa telah melayang di jalan raya di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya di peringkat MoT ambil pendekatan untuk melihat sendiri faktor-faktor kemalangan di kawasan ini dan mahu mengambil pendekatan apa yang boleh kita laksanakan kerana sebanyak 60 peratus kemalangan maut di kawasan ini melibatkan penunggang motosikal dan ini amat membimbangkan," katanya.

Menurutnya, terdapat satu analisis yang dijalankan pada bulan Julai 2018 melalui pemasangan 'rubber strip' di kawasan tersebut telah mendapati ada kelajuan kenderaan sehingga 196 kilometer sejam dan ini menunjukkan ada pengguna jalan raya yang menjadikan laluam berkenaan sebagai litar lumba.

Pada masa sama, beliau berharap agar pelaksanaan langkah intervensi yang berkesan secara fokus yang akan dilakukan terhadap peringkat akar umbi seperti pelajar sekolah dan penduduk akan dapat membuahkan hasil dalam usaha intuk mengurangkan kadar kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya ini.