Lima beradik tipu 18 individu babitkan kerugian RM1.3j ditahan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan lima adik beradik wanita warga tempatan kerana disyaki menipu 18 individu menerusi skim pelaburan tidak wujud, melibatkan kerugian berjumlah RM1.3 juta.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata kesemua suspek itu ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam pada 9, 12, dan 13 Jun, susulan laporan dibuat seorang peniaga wanita yang juga juga mangsa penipuan tersebut, pada 10 Mei lepas.

Beliau berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 28 hingga 42 tahun itu bekerja, dan mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan akaun dan adik-beradik berkenaan dipercayai mula aktif dengan skim pelaburan yang tidak wujud itu sejak September 2018.

“Semua mangsa telah berurusan (dengan seorang daripada suspek) untuk menyertai satu skim pelaburan yang tidak mempunyai nama dan dijanjikan akan menerima pulangan yang tetap, tanpa sebarang kerugian.

“Selepas pembayaran dilakukan kesemua mangsa kepada suspek tersebut, mereka tidak menerima pulangan seperti dijanjikan, malah suspek berkenaan terus memberikan pelbagai alasan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, suspek juga ada memberitahu mangsa bahawa mereka akan menerima keuntungan sekitar 30 hingga 38 peratus daripada jumlah pelaburan mereka.

Beliau berkata empat suspek akan dihadapkan di Mahkamah Klang esok, yang mana dua suspek dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dua lagi dituduh bersama di bawah Seksyen 34 Kanun yang sama, manakala seorang lagi suspek pula akan hadir sebagai saksi kes.- Bernama

Artikel Berkaitan: