Saya juga mangsa, kata Haziq

Bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dibebaskan dengan jaminan polis. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dibebaskan dengan jaminan polis. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Haziq Abdullah Abdul Aziz iaitu lelaki yang mengaku terlibat dalam video intim dengan individu mirip menteri Kabinet tetap pendirian bahawa dirinya juga adalah mangsa dalam skandal itu.

Memetik laporan akhbar tempatan, Haziq mendakwa dirinya tidak mengetahui tentang dalang di sebalik rakaman video tersebut.

"Semua orang lupa bahawa saya juga mangsa kerana ada pihak yang telah merakam dan membocorkan apa yang sepatutnya menjadi sesuatu yang peribadi," katanya.

Pada masa sama, Haziq mendedahkan bahawa polis telah memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang dalam tahanan setelah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lalu.

"Mereka layan saya dengan baik. Polis yang bertanggungjawab mengawal saya menjalankan tugasnya dengan profesional dan kekal berkecuali," katanya.

Dalam laporan sama, Haziq turut memberitahu bahawa keluarganya sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Mereka (ibu bapanya dan adik-beradik) tahu saya kini memerlukan sokongan.

"Perkara yang berlaku ini mungkin mengambil sedikit masa untuk pulih tetapi keluarga selalu ada untuk saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, status perkhidmatan Haziq sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Tan Yew Chong bagaimanapun tidak mengulas ketika ditanya sama ada keputusan penamatan kontrak Haziq akan ditentukan kementerian atau pejabat Timbalan Menteri.

“Haziq sudah hantar surat kepada Timbalan Menteri tetapi saya tidak dapat ingat tarikhnya.

“(Keputusan) tunggu Timbalan Menteri. (Beliau) pergi ke Paris, Perancis selama beberapa hari atas urusan rasmi,” katanya selepas majlis ramah mesra dan sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Industri Utama di sini hari ini.

Shamsul Iskandar sebelum ini dilaporkan berkata, Haziq telah menghantar surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan pihak kementerian kini sedang meneliti surat tersebut.

Katanya, antara jawapan yang dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia mengalami kemurungan ekoran penularan video intim tersebut dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.