CSM terima permohonan bantu analisis video intim

Datuk Amirudin Abdul Wahab
Datuk Amirudin Abdul Wahab
A
A
A

KUALA LUMPUR - CyberSecurity Malaysia (CSM) telah menerima permohonan daripada pihak berkuasa untuk membantu menganalisis video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata pihaknya sebagai agensi teknikal sedia memberi bantuan teknikal seperti yang diminta oleh pihak berkuasa.

“Kami di CSM mempunyai kepakaran forensik teknologi IT seperti audio dan video untuk membantu menganalisis bahan itu,” katanya kepada media selepas perasmian Cyber Defense Conference 2019, di sini hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran mengenai perkara itu namun berkata pihaknya sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut. Ini hanya permohonan untuk membantu, jadi saya tak mahu ulas dengan lebih lanjut, jadi serah kepada pihak berkuasa (polis),” katanya.

Beliau berkata, tempoh masa untuk menganalisis aspek teknikal video itu bergantung kepada tahap kerumitan bahan berkenaan.

Minggu lepas, tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan seorang menteri dan seorang lagi lelaki dan beberapa laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Pada 13 Jun, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes video itu.- Bernama

Artikel Berkaitan: