Dua sindiket dadah tumpas, 13 ditahan

Shanmugamoorthy menunjukkan dadah yang dirampas hasil penahanan 13 suspek daripada dua sindiket yang ditumpaskan.
Shanmugamoorthy menunjukkan dadah yang dirampas hasil penahanan 13 suspek daripada dua sindiket yang ditumpaskan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan 13 individu termasuk dua wanita dan seorang warga India sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, penahanan kedua-dua kumpulan yang aktif sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu itu dilakukan hasil enam operasi berasingan membabitkan rampasan bernilai RM170,500 melibatkan pelbagai jenis dadah dan wang tunai.

Menurutnya, kumpulan pertama ditumpaskan menerusi lima operasi berasingan di mana tujuh suspek telah ditahan membabitkan jumlah rampasan dadah dan wang tunai bernilai RM12,300.

"Tangkapan pertama dilakukan pada 13 Jun lalu membabitkan seorang lelaki berusia 56 tahun di Jalan Segambut yang mempunyai 15 rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan.

“Susulan itu, pada 14 Jun, seorang lagi lelaki berusia 35 tahun ditahan di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium Jalan Ipoh diikuti seorang wanita berusia 40 tahun di kawasan Hentian Duta selepas menyerbu sebuah kondominium di Jalan Kuching.

“Bertindak atas maklumat, pada 15 Jun, tiga suspek lelaki termasuk seorang warga India berusia 37 hingga 42 tahun pula berjaya ditahan di Bandar Putra Permai,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan kedua berjaya ditumpaskan dalam operasi semalam membabitkan penahanan enam individu termasuk seorang wanita.

“Bertindak atas maklumat, operasi dilakukan pada jam 2 pagi di kawasan Medan Putra Bussiness Centre membabitkan jumlah rampasan dadah bernilai RM22,300.

Artikel Berkaitan:

"Lima lelaki berusia antara 28 hingga 37 manakala suspek wanita berusia 43 tahun. Ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif AMP dan hanya seorang mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Shanmugamoorthy berkata, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula antara 14 Jun sehingga 22 Jun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.