CAP gesa KPDNHEP hentikan kenaikan harga simen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan segera terhadap isu kenaikan harga simen secara mendadak.

Pemangku presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, KPDNHEP perlu segera menghentikan atau membekukan kenaikan harga barangan tersebut.

Menurutnya, kementerian berkaitan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang telah menaikkan harga sebelum kelulusan dikeluarkan.

"Simen disenaraikan sebagai barangan kawalan berjadual dalam laman sesawang KPDNHEP bagi tahun ini. Oleh itu, kementerian perlu mengambil tindakan segera untuk menghentikan kenaikan harga yang mendadak ini.

"Menurut laporan, pembekal simen telah menaikkan harga daripada RM20 kepada RM40 bagi setiap meter padu sejak 15 Jun lalu. Difahamkan, harga simen tidak pernah meningkat secara mendadak sebelum ini.

"Persoalannya, adakah kerajaan dimaklumkan mengenai perkara ini?" katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambahnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga perlu menyiasat sama ada pengeluar simen telah melanggar Akta Persaingan kerana laporan menyatakan syarikat tersebut menguasai 85 peratus industri simen tempatan.

"Mengikut laporan pada 2008 lalu, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme untuk memastikan batang keluli dan simen yang dibekalkan kepada kontraktor adalah pada harga yang munasabah.

Artikel Berkaitan:

"Dengan itu, adakah ia bermakna kerajaan sebelum ini telah melonggarkan peraturan ketetapan harga simen sejak 10 tahun lalu? Dengan itu, CAP berharap agar KPDNHEP dan MyCC menyiasat jika industri ini telah melanggar sebarang akta," katanya.

Terdahulu, beberapa syarikat menerima notis pemberitahuan mengenai kenaikan harga simen sehingga 40 peratus yang berkuatkuasa pada 15 Jun.

Difahamkan, ada juga yang menerima notis pemberitahuan yang sama namun tarikh kuatkuasa adalah pada 1 Julai.

Isu tersebut telah mendapat perhatian Menteri Kewangan, Lim Guan Eng apabila akan membincangkan perkara tersebut dengan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail minggu depan.