Pintu sempadan ICQS dilanjut operasi sehingga 24 jam

Marzuki (tiga, kanan) dan Chaisiri (dua, kanan) bergambar bersama tetamu kehormat dari Malaysia.
Marzuki (tiga, kanan) dan Chaisiri (dua, kanan) bergambar bersama tetamu kehormat dari Malaysia.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Sejarah baharu tercipta antara Malaysia dan Thailand apabila pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini dilanjutkan operasi sehingga 24 jam mulai hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, waktu operasi itu hanya membabitkan kenderaan berat dan pergerakan kargo manakala laluan awam kekal seperti biasa iaitu dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

Katanya, waktu operasi berkenaan akan menghadapi tempoh percubaan iaitu selama tiga bulan sehingga 17 September depan.

"Sehubungan itu, kedua-dua pihak, Malaysia dan Thailand juga telah menubuhkan pasukan untuk menilai keberkesanan pembukaan pintu sempadan 24 jam terbabit," katanya ketika berucap di Majlis pelancaran operasi 24 jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad.

Mukhriz menyaksikan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Marzuki di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, awal pagi tadi.
Mukhriz menyaksikan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Marzuki di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, awal pagi tadi.

Menurutnya, lanjutan tempoh operasi itu bakal merancakkan lagi pelaburan dan aliran perdagangan antara kedua-dua negara.

"Sebagai negara yang berkongsi sempadan yang sama, adalah penting untuk Malaysia-Thailand meningkatkan hubungan baik dalam usaha menarik nilai pelaburan asing dan mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

"Apatah lagi Thailand adalah rakan dagang kelima terbesar di Malaysia dan rakan perdagangan kedua terbesar di kalangan negara anggota ASEAN," katanya.

Tambahnya, lanjutan tempoh operasi itu juga membantu mengurangkan kesesakan trafik di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang berlaku sebelum ini.


Anggota keselamatan membuka pagar sempadan sebagai simbolik bermulanya waktu operasi 24 jam di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao, di sini, awal pagi tadi.
Anggota keselamatan membuka pagar sempadan sebagai simbolik bermulanya waktu operasi 24 jam di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao, di sini, awal pagi tadi.

Dalam pada itu, penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anamarn berkata, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada aspek perdagangan dan perkembangan industri logistik dalam kerjasama ini.

"Aliran trafik keluar masuk pada waktu siang juga dijangka menjadi lebih lancar apabila pergerakan kenderaan berat boleh dilakukan sepanjang masa terutama pada tengah malam sehingga awal pagi," katanya.

Sebelum ini, persetujuan melanjutkan waktu operasi ini dicapai dalam mesyuarat antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Thailand, Don Pramudwinai pada Januari lalu ketika lawatan delegasi Malaysia yang diketuai Saifuddin ke Bangkok.

Keputusan itu dibuat sebagai susulan kepada persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri kedua-dua negara ketika lawatan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangkok Oktober lalu.

Marzuki menyempurnakan gimik pelancaran operasi 24 jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao di sini, awal pagi tadi.
Marzuki menyempurnakan gimik pelancaran operasi 24 jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao di sini, awal pagi tadi.