Dilarang timbulkan isu video intim dalam Parlimen

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof - Foto Bernama
Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen tidak dibenarkan mengemukakan atau menimbulkan isu berkenaan klip video intim mirip seorang menteri kanan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 1 Julai ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, tindakan itu bercanggah dengan peraturan Parlimen untuk membincangkan isu yang masih dalam siasatan polis.

“Isu itu tidak boleh dibangkitkan semasa sidang Parlimen kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan," katanya ketika memetik laporan sebuah portal tempatan.

Kewujudan video tersebut sejak beberapa hari lepas pantas menjadi isu hangat sementelah ia dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

Lebih mengejutkan, seorang lelaki bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, mengaku dia merupakan salah seorang individu dalam video tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki mirip menteri dalam video berkenaan menafikan penglibatannya dan mendakwa ia merupakan komplot jahat untuk menjatuhkan karier politiknya.

Semalam, veteran DAP, Lim Kit Siang, melontarkan soalan adalah Ahli Parlimen akan memberi tumpuan kepada isu berkenaan pada sidang 18 hari nanti dan bukannya mengenai pembentangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Saya mahu sidang parlimen Julai ini dikenali sebagai parlimen IPCMC, bukannya sidang video seks Haziq,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mempersoalkan arahan Speaker yang disifatkannya sebagai ganjil.

"Speaker tidak membenarkan Ahli Parlimen untuk bercakap mengenai video seks.

"Arahan yang ganjil tetapi tidak mengejutkan. Larangan itu tidak menghalang Ahli Parlimen berbincang tentang seks, atau video secara amnya, selagi nama Azmin tidak disebut," katanya.

Setakat ini, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masing-masing sedang menyiasat penularan video tersebut.