Durian terjah pasaran China

Salahuddin (tengah) dan Bai Tian (kiri) bergambar bersama buah durian pada majlis perasmian Pengeksportan Sulung Buah Durian Sejuk Beku Malaysia ke China di Wisma Tani, Putrajaya. -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Salahuddin (tengah) dan Bai Tian (kiri) bergambar bersama buah durian pada majlis perasmian Pengeksportan Sulung Buah Durian Sejuk Beku Malaysia ke China di Wisma Tani, Putrajaya. -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dijangka memperoleh kira-kira RM500 juta setahun hasil pengeksportan durian sejuk beku ke China.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jangkaan itu berdasarkan sekurang-kurangnya 1,000 tan metrik durian sejuk beku dalam bentuk biji jenis premium iaitu Musang King (D197) dan Black Thorn (D200) yang dieksport ke negara itu.

Beliau berkata, pengeksportan sulung yang dilancarkan itu juga disifatkan sebagai detik bersejarah dalam industri pertanian negara.

"Kementerian (MOA) yakin jumlah pengeluaran akan mencukupi bagi memenuhi pasaran tempatan, pasaran luar negara sedia ada dan yang terbaru dari pasaran besar China.

"Susulan itu juga, MOA telah menjadikan durian sebagai salah satu industri di bawah Sumber Kekayaan Baharu," katanya pada sidang media sebaik selesai melancarkan Pengeksportan Sulung Durian Sejuk Beku Malaysia ke China di sini hari ini.

Turut hadir, Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Menurut Salahuddin lagi, usaha untuk Malaysia menembusi pasaran negara Tembok Besar itu telah bermula sejak 2007 lagi.

"Hasil rundingan di antara kerajaan kedua-dua negara, Malaysia akhirnya telah berjaya mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes bermula pada Mei 2011.

Artikel Berkaitan:

"Nilai eksport pada tahun 2018 dalam bentuk ini adalah RM9.445 juta atau 235.62 tan metrik," katanya.