Tragedi MH17: Pusara Allahyarham Hasni jadi tumpuan

Orang ramai yang mengambil kesempatan menziarahi pusara mangsa MH17, Allahyarham Hasni di Batu Anam, Segamat.
Orang ramai yang mengambil kesempatan menziarahi pusara mangsa MH17, Allahyarham Hasni di Batu Anam, Segamat.
A
A
A

SEGAMAT - Meskipun tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine telah lima tahun berlalu, namun memori itu terus dilihat meninggalkan kesan kepada sebahagian penduduk di Batu Anam, di sini.

Pusara mangsa, Hasni Hardi Parlan di Tanah Perkuburan Islam Paya Luas, Batu Anam di sini tidak pernah sunyi tatkala menjelang Aidilfitri.

Salah seorang penduduk, Adnan Sahlan, 65, berkata, berita tragis menimpa keluarga mangsa, Parlan Mesiran, 65, dan isterinya, Asiah Rajikun, 61, tidak akan dilupakan oleh kenalan dan penduduk setempat.

“Kejadian berlaku sempena Ramadan dan kesibukan umat Islam membuat persediaan meraikan hari Raya Aidil Fitri pasti meninggalkan kesan.

"Anak perempuan saya, Azawin, 31 amat mengenali arwah Hasni Hardi kerana berada dalam satu kelas ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam sejak tahun satu hingga tahun enam,” katanya ketika ditemui.

Menurut anak perempuannya, arwah merupakan seorang pelajar pintar serta kerap membantu rakan pelajar lainnya yang kurang memahami pelbagai subjek.

“Walaupun arwah bekerja di luar negara sebagai jurutera gas, namun sesekali pulang bercuti di kampung dia tetap mencari rakan persekolahan tanpa mengira status latar belakang mereka kerana bersikap merendah dirinya.

“Dalam masa sama keluarga arwah turut disenangi penduduk setempat kerana sikap ramah tamah juga akan bersama menyertai pelbagai aktiviti kariah masjid selain turut sama menyertai gotong-royong diadakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengunjung di atas tanah wakaf perkuburan di sini akan berpusu menziarahi perkuburan arwah Hasni Hardi dan membacakan ayat suci sebaik selesai menziarahi pusara waris terdekat masing-masing terutamanya pada hari raya dan cuti hujung minggu.

“Ada yang mengatakan seolah tak puas melawat pusara arwah sekali dalam masa sehari dan akan datang semula sebelum pulang semula ke kota.

“Paling terkesan apabila kedua ibu bapa arwah hampir setiap hari sejak lima tahun lalu masih setia menziarahi pusara anak lelaki mereka itu. Kadang kala dua kali dalam masa sehari bagi mengubati kerinduan.

“Saya, hadir kesini bagi menziarahi pusara arwah isteri, Lahsiah Kassan, 50-an yang meninggal dunia pada tahun 2016 lalu akibat pelbagai komplikasi penyakit,” katanya.

Sementara itu, Parlan Mesiran, 65, berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menziarahi pusara anaknya itu.