Kerajaan pandang serius kenaikan harga simen: Guan Eng

Guan Eng (lima dari kiri) mengadakan sidang media bersama beberapa syarikat termasuk Rehda yang terkesan dengan kenaikan harga simen.
Guan Eng (lima dari kiri) mengadakan sidang media bersama beberapa syarikat termasuk Rehda yang terkesan dengan kenaikan harga simen.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kenaikan harga simen secara mendadak bermula semalam.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail minggu hadapan bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, isu kenaikan harga simen itu adalah serius kerana ia akan menyebabkan kenaikan harga dalam pelbagai aspek termasuk harga rumah.

"Saya menerima aduan dari beberapa pihak termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengatakan mereka menerima notis kenaikan harga simen pada 3 Jun lalu.

"Melalui notis tersebut, kenaikan harga sehingga 40 peratus itu akan berkuatkuasa pada 15 Jun iaitu semalam. Selain itu, ada juga yang menerima notis pemberitahuan yang sama namun tarikh kuatkuasa adalah pada 1 Julai.

"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Saifuddin dan kami akan membincangkan perkara ini nanti. Dijangka perbincangan itu akan dibuat minggu depan," katanya pada sidang media tadi.

Tambahnya, perbincangan itu akan mencari punca harga bahan tersebut naik mendadak iaitu daripada RM10 ke RM16 bagi setiap kubikmeter.

"Punca kenaikan harga simen ini belum dikenalpasti malah syarikat yang terkesan dengan kenaikan harga ini juga tidak tahu kenapa ia boleh naik dengan mendadak. Kita bimbang, kenaikan ini disebabkan manipulasi oleh syarikat pengeluar terbesar.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, 85 peratus bekalan simen negara dipegang oleh satu syarikat sahaja. Oleh itu, kita akan kaji adakah berlaku kuasa monopoli demi keuntungan sehingga menyebabkan kesusahan kepada pihak lain terutamanya syarikat pembinaan dan pemaju," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rehda Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong berkata, kenaikan harga simen secara mendadak tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, dengan kenaikan itu, ia akan memberi kesan kepada harga rumah terutamanya rumah mampu milik.

"Sebelum ini memang ada kenaikan tetapi tidak mendadak seperti kali ini. Harga jualan akan naik di antara RM20 hingga RM40 setiap kubikmeter. Ia amat tinggi dalam sejarah. Dengan kedudukan matawang ringgit yang tinggi pada masa ini, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Sehubungan itu, saya dan rakan-rakan dalam industri perumahan, pembinaan dan sebagainya (yang terkesan dengan kenaikan harga simen) meminta agar kerajaan campur tangan dalam isu ini. Kesan kenaikan harga ini akan tempias kepada semua pihak termasuk pemaju dan pembeli rumah," katanya.