Empat maut babitkan kereta, dua lori

A
A
A

BERA - [DIKEMASKINI] Hajat lima sekeluarga untuk menghadiri kenduri pertunangan saudara mereka di Serting, Negeri Sembilan berakhir dengan tragedi memilukan selepas empat daripadanya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 51Jalan Temerloh-Kemasul dekat Bera hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu,menyaksikan kereta jenis Perodua Viva terperosok ke bawah sebuah lori.

Empat mangsa kesemuanya yang berasal Felda Bukit Puchong iaitu pemandu Viva,Nor Amri Mohd Ali,35 dan isterinya,Siti Rahmah Abidin,33 bersama penumpang iaitu kakak Siti Rahmah iaitu Siti Zubaidah,40 dan anak bongsunya,Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman,6 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang iaitu Nor Shuhada Shukri,29 dari Felda Bukit Mendi dan pemandu lori,Norzamri Mohd Nor,39 dari Kampung Tementi parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mansor Samsudin berkata, semasa kejadian kereta dinaiki mangsa dan sebuah lagi lori yang terlibat dalam kejadian dalam perjalanan dari arah Kemasul menghala ke Temerloh.

"Apabila sampai di tempat kejadian sebuah lori dari arah bertentangan telah terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori dan kereta jenis Perodua Viva.

"Akibat kejadian menyebabkan empat orang yang menaiki kereta jenis Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan,"katanya dalam satu kenyataan.

Namun seorang lagi pemandu lori berusia 54 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya kesemua mangsa telah dihantar ke Hoshas Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan termasuklah mengesan saksi kejadian.

Pengarah Bomba Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, kesemua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan kanak-kanak itu dari kereta Perodua Viva berkenaan.

Menurutnya, lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati dua buah lori dan kereta tersebut terlibat dalam kemalangan itu.

"Lori dari arah simpang jalan besar Kemayang menghala ke Felda Bukit Mendi manakala kereta itu dari arah Felda menghala ke simpang berkenaan.

"Kesemua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan pemotong," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, seorang lelaki dari lori itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Mendi untuk menerima rawatan.

"Seorang lagi dari lori berlainan selamat dalam kemalangan tersebut," katanya semua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.