Laporan siasatan AJK masjid digantung hampir siap

Mohd Yusof (kiri) bersama Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dan Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohamed Arib Aliah menyantuni tetamu yang hadir sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Muhammadiah, hari ini.
Mohd Yusof (kiri) bersama Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dan Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohamed Arib Aliah menyantuni tetamu yang hadir sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Muhammadiah, hari ini.
A
A
A

IPOH – Laporan penuh siasatan terhadap penggantungan tugas pengerusi masjid dan surau serta jawatankuasanya yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program politik sudah di peringkat akhir.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusof Husin berkata, semua masjid terlibat telahpun menyerahkan laporan masing-masing berkaitan isu berkenaan.

“Insya-Allah dalam waktu terdekat ini kita akan siapkan laporan, namun untuk peringkat ini, kita telahpun melantik jawatankuasa sementara termasuklah pengerusi bagi memastikan pengurusan masjid berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) di Taman Tasek Jaya hari ini.

Mei lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar pengerusi masjid dan surau terlibat digantung tugas bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sementara penggantungan tugas itu, Sultan Nazrin menitahkan agar tanggungjawab pengerusi jawatankuasa masjid dan surau diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.

Ceramah berkenaan dilaporkan berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei serta program atas nama parti politik di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

JAIPk turut menggantung sementara jawatan Penolong Setiausaha Masjid Asaadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan kerana didakwa memberi kebenaran kepada seorang wakil rakyat berucap di masjid itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusof berkata, sepanjang Ramadan lalu, pemantauan dilakukan JAIPk bukan hanya terhadap penglibatan politik kepartian dalam program-program masjid, tetapi beberapa keingkaran khusus dalam mengerjakan solat tarawih seperti jumlah rakaat dan tazkirah di pertengahan solat.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang mempertikaikan mengapa ibadah sunat ini yang nak ditekankan seolah ia wajib, sebenarnya apabila dikehendaki masjid mengerjakan solat tarawih 20 rakaat, maka sebagai sebuah institusi yang mana imam dan jawatankuasanya dilantik, meraka perlu patuh pada arahan dan titah baginda Sultan untuk menunjukkan penyeragaman dan menggalakkan ibadah, soal makmum nak buat lapan (rakaat) itu hak masing-masing,” katanya.

Begitu juga dengan larangan tazkirah di pertengahan solat, jelas beliau ia dibuat untuk mengelak timbulnya kekacauan kepada masyarakat yang mungkin sengaja dicetuskan akibat perbezaan kefahaman dan latar belakang.

Katanya, dalam sesetengah kes, ada penceramah yang dijemput sengaja mengambil kesempatan terhadap audien yang ada untuk menyebarkan kefahaman mereka khususnya berkait politik kepartian.

“Alhamdulillah, sejak tindakan dan penguatkuasaan kita lakukan, masyarakat mulai faham dan semua jawatankuasa masjid memberi kerjasama yang baik dalam perkara ini,” katanya.