'Hati pak cik kini lebih tenang'

Buges bersama Timah (dua dari kanan) menjamu Sharifah Huda (kanan) dan Harith (dua dari kanan) dengan kuih raya di rumahnya di Kampung Tengah Batang Melaka kelmarin.
A
A

JASIN - Aidilfitri kali ini memberi makna yang berharga bagi seorang warga emas yang juga penerima bantuan asnaf Zakat Melaka apabila berjaya menjalani pembedahan jantung pada April lalu di Institut Jatung Negara (IJN).

Buges Hashim, 69, berkata, dia yang selama ini bekerja sebagai sukarelawan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak tahun 2008 bagi membersihkan Masjid Assyakirin Batang Melaka bagaimanapun tidak mempunyai wang bagi menampung kos pembedahan berjumlah RM42,000. Menurutnya, selain resah memikirkan wang pembedahan yang begitu banyak dalam masa sama terpaksa menanggung derita sering kali diserang sakit jantung yang dihidapi sejak dua tahun lalu sehinggakan terpaksa berulang alik dari rumah di Kampung Tengah Batang Melaka ke Hospital Jasin.

Malah katanya, berat badannya turut mengalami penurunan mendadak dari 61kilogram (kg) kepada 50kg selain sering mengalami keadaan berpeluh seluruh badan terutama pada waktu malam hingga beberapa kali terpaksa ditahan wad.

"Alhamdulillah, raya kali ini kesihatan pak cik lebih baik dan hati lebih tenang, ALLAH permudahkan urusan pak cik hinggakan pembedahan pak cik begitu cepat dijalankan.

"Sebelum pembedahan pak cik sering risau memikirkan kos pembedahan, namun apabila dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Zakat Melaka tidak sampai seminggu peruntukkan kepada pak cik disalurkan," katanya selepas dilawati kakitangan Zakat Melaka di kediamannya di Kampung Tengah Batang Melaka di sini kelmarin.

Hadir sama, Eksekutif Divisyen Dakwah, Penyelidikan dan Latihan Zakat Melaka, Sharifah Huda Syed Yahya dan Harith Hassan.

Tambahnya, dia juga tidak menolak keikhlasan bekerja sebagai sukarelawan membersihkan rumah ALLAH telah memberikan laluan mudah kepadanya membuat pembedahan jantung buat kali pertama.

Menurutnya, dengan wang bayaran sukarelawan juga dia mampu menyara dua orang anak berusia 13 dan 14 tahun yang masih bersekolah selain dibantu dengan bantuan bulanan MAIM sebanyak RM200, bantaun persediaan Ramadan dan Aidilfitri serta bantuan anak-anak sekolah bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya hargai bantuan ini kerana banyak meringankan beban kami sekeluarga, sekali gus dapat menambahkan pendapatan isteri yang bekerja mengambil upah jahit baju dan tukang sapu di sekolah.

"Pak cik terharu dengan keprihatinan MAIM dan Zakat Melaka, serta QSR Brands Sdn Bhd yang berbesar hati membiayai kos pembedahan pak cik," katanya.

Untuk rekod, QSR Brands Sdn Bhd merupakan satu pembayar zakat perniagaan kepada Zakat Melaka.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia