Cerita ritual semadi mayat atas pokok suku Bateq

A
A

GUA MUSANG - Suku kaum Bateq merupakan orang asli daripada puak Negrito atau Semang yang terdapat di Kelantan dan Pahang.

Suku ini tidak ramai apabila mereka mempunyai 1,516 orang sahaja dan tinggal dalam hutan hujan tropika terutama di Taman Negara Malaysia.

Nama Bateq bermaksud orang Asli Melayu. Mereka daripada kumpulan Austronesia yang naik bot dari pulau-pulau di Asia Tenggara.

Orang Bateq mula didokumentasikan oleh penulis Rusia bernama Nicholai Miklukho-Maklai pada 1878.

Bahasa yang digunakan ialah sub Mon-Khmer daripada keluarga bahasa Austro-Asia. Satu masa lalu, mereka hanya memiliki alat sumpitan dan sikat rambut, namun kini mereka turut memiliki radio, rokok dan telefon bimbit.

Suku Bateq hidup dalam kumpulan keluarga di pondok atau khemah kecil. Bilangan keluarga sekitar 10 keluarga sahaja.

Mereka percaya sebagai penjaga tanah dan bukan sebagai pemilik tanah. Mereka hidup pindah randah akibat aktiviti pembalakan dan pembangunan.

Mereka tidak ada pemimpin yang sebenar kerana biasanya orang dewasa dianggap sebagai ketua atau tok batin.

Secara rasmi terdapat sekurang-kurangnya 18 suku daripada etnik orang asli di Semenanjung Tanah Melayu, mereka dikategorikan kepada tiga kumpulan utama berdasarkan genetik dan asal-usul iaitu Semang, Senoi dan Proto-Malay.

Antara orang asli yang terlibat dalam operasi mencari kubur penduduk Kuala Koh.
Antara orang asli yang terlibat dalam operasi mencari kubur penduduk Kuala Koh.

Jampi pagar mayat

Berbalik kepada kisah di perkampungan orang asli, Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, mereka memiliki satu kumpulan penduduk iaitu 77 keluarga dan terdiri daripada 350 orang penduduk.

Biarpun majoriti daripada mereka beragama Islam, namun suku kaum ini masih berpegang kuat kepada adat suku kaum mereka.

Sejak diberi tugas dalam kes kematian misteri orang asli di sini, baru saya faham serba sedikit adat dan tradisi kaum Bateq yang berbeza dengan kaum Temiar di hulu Kelantan.

Saya sempat bertanya kepada batin mereka, Mamat Pokok yang turut serta dalam operasi mencari 12 mayat serta rangka-rangka yang ditinggalkan di sekitar hutan itu.

Batin tersebut bercerita mengenai ritual dan cara adat yang digunakan mereka dalam pengurusan mayat.

Katanya, apabila ada dalam kalangan keluarga yang mula sakit, mereka akan meninggalkan kawasan penempatan dan menuju ke tengah hutan.

Mereka hanya berhenti melangkah apabila ahli keluarga itu benar-benar tidak berupaya untuk berjalan lagi.

Apabila berlaku situasi ini, ahli keluarga lain akan membina para di atas pokok menggunakan kayu-kayu hutan. Para itu setinggi enam kaki atau lebih.

Pemilihan pokok hanya rambang, namun mereka memilih pokok-pokok yang mempunyai batang yang agak besar bagi menampung berat para dan mayat.

Mereka akan meletakkan ahli keluarga yang sakit di dalam para yang dialas tikar mengkuang.

Mereka akan berada di situ sehingga pesakit meninggal dunia kerana menurut kepercayaan mereka, setiap kematian adalah malapetaka dan kawasan itu akan dihuni mahkluk halus.

Selepas ahli keluarga meninggal dunia, mereka akan membersihkan kawasan sekitar pokok itu dengan menebas semak samun sebagai 'petanda'.

Mereka akan membacakan jampi mantera yang diperoleh daripada nenek moyang mereka sejauh 20 meter dari pokok tersebut bagi memagar jasad itu.

Jampi itu juga lebih kepada memohon semangat hutan agar menjaga jasad daripada gangguan haiwan liar yang turut menghuni hutan.

"Kami percaya jasad yang tidak berjampi akan diusik haiwan liar. Malah, semasa operasi mencari ada rangka yang ditemui berselerak dan ada yang terkumpul. Ini adalah petanda dan beza mana yang dijampi dan mana yang tidak," kata Mamat.

Selesai upacara ritual, mereka akan berjalan ke hutan lagi dan akan berhenti sekiranya ada yang jatuh sakit pula.

Mereka akan membuat perkara yang sama iaitu membuat para umpama keranda bagi orang kita dan begitulah kehidupan mereka seterusnya.

Operasi mencari menggunakan bot bagi mengesan empat kubur di seberang Sungai Lebir.
Operasi mencari menggunakan bot bagi mengesan empat kubur di seberang Sungai Lebir.

Kisah lucu si penebang balak

Penulis teringat ada satu cerita rakan di Gua Musang apabila ada seorang lelaki masuk ke hutan untuk menebang balak.

Kerja-kerja penebangan balak dilakukan secara manual dan mesin (chainsaw).

Tengah sedap memotong balak, tiba-tiba terjatuh tengkorak bertaburan jatuh dari atas pokok.

Insiden itu menyebabkan lelaki berkenaan lari pulang ke rumah dan tidak lagi terlibat dalam kerja-kerja pembalakan kerana takut.

Rupa-rupanya, ia tengkorak lama mayat orang asli kaum Bateq yang telah diletakkan di situ selepas bertahun-tahun sehingga pokok itu membesar.

Kisah lucu penebang balak itu menguatkan lagi kisah sebenarnya orang asli Bateq sememangnya sejak sekian lama telah mengamalkan adat budaya menyimpan mayat di atas pohon pokok.

Oleh kerana itulah, operasi mengesan kubur-kubur oleh pihak berkuasa dalam Ops Bateq memakan masa kerana ahli keluarga sendiri tidak tahu lokasi tepat mereka meletakkan si mati.

Namun, mengikut kepercayaan mereka, penduduk warga emas lebih tahu selok belok hutan dan mereka pasti dapat mengesan kubur dengan cara jampi.

'Kami hanya mahu kemudahan asas' Ops Bateq turut melibatkan sekumpulan warga emas iaitu Kulim Tebu, Kebuh Pisang, Mamat Ong dan Dolah Ping yang lebih arif dengan hutan.

Mereka menggunakan jampi dan ritual hutan dalam mengesan kubur. Dengan bantuan merekalah operasi ini menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, dalam 12 kubur yang dikesan, empat daripadanya berada di seberang Sungai Lebir iaitu di luar kawasan Kuala Koh.

Pihak berkuasa dan kumpulan pencari perlu menggunakan bot untuk merentas sungai.

Terdetik di hati saya, bagaimana mereka merentasi sungai tanpa bot seperti kumpulan pencari?

Malah, jika kita berjalan dengan orang asli di hutan, kita akan tertinggal jauh ke belakang kerana langkah mereka lebih pantas.

Biarpun hanya berkaki ayam, mereka mampu berjalan dengan pantas. Mungkin sudah biasa dengan kehidupan sebegitu.

Berbeza dengan kaum Temiar, mereka mengebumikan mayat dengan menyemadikannya dalam tanah yang digali di kawasan perkuburan yang telah dikhaskan.

Jika dibandingkan dua kaum ini, kaum Bateq jauh ketinggalan di belakang kerana mereka menolak kehidupan moden dan lebih selesa menyedut udara di hutan dan meneruskan tradisi nenek moyang.

Biarpun diberikan penempatan serta rumah batu yang selesa, mereka tetap memilih untuk tinggal di bangsal dalam hutan kerana panas.

"Bagi rumah batu, ada kipas dan lampu. Tetapi tidak pernah pula ada bekalan elektrik. Buat apa semua itu? Sudahlah air kotor, bekalan elektrik pun tidak ada.

"Kalau nak kami tinggal di kawasan itu, berikan kami kemudahan sewajarnya. Kami mahu air bersih dan bekalan elektrik. Bukan kami mahu kemodenan seperti orang luar.

"Sekurang-kurangnya ada asas air bersih dan bekalan elektrik," kata Mamat yang menjadi pengganti kepada batin tua, Hamdan Manis.

Sedihnya, Hamdan merupakan mangsa pertama yang meninggal dunia akibat penyakit misteri ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia