Kes samun wanita, dua lelaki warga Afrika ditahan

Suspek cedera setelah terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri.
Suspek cedera setelah terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri.
A
A
A

KAJANG – Polis memberkas dua lelaki warga Afrika yang dipercayai terlibat dengan kes samun seorang wanita di tepi Jalan Cheras Mewah, Taman Cheras Mewah, Batu 9, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dua lelaki itu berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah unit Pangsapuri Seri Mesra, Bandar Tun Hussein Onn di sini.

“Seorang suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga Pangsapuri berkenaan. Dia patah kaki akibat terjun dari bangunan berkenaan, kini ditahan wad kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menerima laporan mangsa disamun oleh empat lelaki warga Afrika yang membawa lari beg tangan mangsa yang diletakkan dalam kenderaan pada jam 4.35 petang.

“Bagaimanapun teman lelaki mangsa sempat merampas semula beg tangan milik mangsa daripada suspek. Setakat ini sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting milik mangsa hilang dalam kejadian tersebut,” katanya.

Beliau berkata, polis masih mengesan dua lagi suspek yang terlibat dalam kejadian ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Broline Benson di talian 019-6938032,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: