Suspek ragut akhirnya diberkas

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ragut pada 20 Mei lalu, diberkas polis di sebuah rumah di Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, kelmarin.

Suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.40 malam, yang menjadi buruan polis selepas dipercayai meragut rantai leher seorang warga emas di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam pada 20 Mei, ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Gong Kijang, sebelum didatangi suspek yang menaiki motosikal Honda EX-5.

“Suspek bertanyakan arah surau kepada mangsa yang berusia 70-an itu. Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa mendekatinya bagi menunjukkan arah surau.

“Bagaimanapun, suspek bertindak meragut rantai leher emas yang dipakai mangsa, lalu melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.

Berikutan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman enam hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: