Kedah, Pahang sama kuat

Percubaan Fernando (kanan) mudah dibaca oleh Helmi Eliza. - FOTO EHSAN ARENA HIJAU KUNING
Percubaan Fernando (kanan) mudah dibaca oleh Helmi Eliza. - FOTO EHSAN ARENA HIJAU KUNING
A
A
A

KEDAH gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Darul Aman pada perlawanan Liga Super 2019 apabila diikat Pahang tanpa jaringan malam tadi.

Tok Gajah yang berada di tangga kedua liga juga terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila diberi saingan sengit oleh Lang Merah sepanjang perlawanan berlangsung.

Terdahulu, Pahang menerusi Safuwan Baharudin berpeluang melakukan sesuatu buat pasukannya menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti namun sepakan derasnya melepasi palang pada minit ke-30.

Peluang terbaik tuan rumah muncul pada minit ke-39 menerusi Fernando Ortega yang hanya berdepan penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias namun percubaannya tepat ke dada pemain tersebut.

Tok Gajah juga turut menggandakan asakan melalui satu serangan pantas dan hampir berada di hadapan pada minit ke-45 menerusi penyerangnya, Lazarus Kaimbi namun sepakannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pelawat pada separuh masa kedua sekali lagi berpeluang terlebih dahulu untuk berada di hadapan pada minit ke-66 menerusi Kaimbi yang hanya berdepan Mohd Ifwat namun percubaannya sekali lagi dinafikan oleh penjaga gol itu.

Ketiadaan dua tonggak pertahanan Kedah, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof yang tidak diturunkan kerana digantung satu perlawanan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Pahang di dalam mengucar-gacirkan kubu tuan rumah.

Pada 10 minit terakhir, pelawat terus mengasak pasukan tuan rumah melalui sayap kiri dan kanan namun berjaya dikendurkan oleh pertahanan Kedah dengan menyerap tekanan tersebut dan keputusan tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat.

Artikel Berkaitan: