Agong solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed, Abu Dhabi

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mendengar penerangan dari Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Abu Darbi Mohamed Khalifa Al Mubarak semasa melawat muzium Louvre Abu Dhabi hari ini. - FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mendengar penerangan dari Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Abu Darbi Mohamed Khalifa Al Mubarak semasa melawat muzium Louvre Abu Dhabi hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

ABU DHABI - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed dan melawat Muzium Louvre Abu Dhabi.

Sultan Abdullah yang tiba di Abu Dhabi sejak Rabu, berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid itu, merupakan antara masjid terbesar di dunia yang memperlihatkan ciri-ciri unik di antara seni Islam dan budaya dunia.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka ialah Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Baginda berdua disertai Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Marzuki Yahya selaku Menteri Pengiring; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Duta Besar Malaysia di UAE, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof.

Terdahulu pada awal pagi Jumaat, Seri Paduka berkenaan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia di Abu Dhabi dalam satu majlis ringkas dan tertutup di Emirates Palace Hotel.

Pada petangnya, Sultan Abdullah meluangkan masa melawat Louvre Abu Dhabi, sebuah muzium kesenian dan ketamadunan pertama di dalam dunia Arab yang menyerlahkan semangat keterbukaan dan kepelbagaian budaya dunia.

Baginda kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat waktu tempatan.

Ini merupakan lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 31 Januari. - Bernama

Artikel Berkaitan: