Akui dipanggil, Shamsul Iskandar akan ke IPK Melaka esok

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

MELAKA TENGAH - Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku dipanggil polis bagi membantu siasatan kes yang mengaitkan setiausaha sulit kanannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Shamsul Iskandar berkata, pasukan Polis Bukit Aman telah menghubungi pejabatnya semalam dan meminta beliau supaya menghadirkan diri ke balai polis untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan.

Menurutnya, dalam masa sama sehingga kini beliau juga masih gagal menghubungi individu terbabit dan kali terakhir menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp ketika tiba dari Yangon, Myanmar selepas program rasmi di sana.

"Saya tidak dapat berhubung dengan dia (Haziq) sejak Selasa lalu, dia tidak memberi sebarang respons.

"Saya akan hadir ke Ibu Pejabat Kontinjen Melaka untuk membantu proses siasatan oleh pasukan polis yang dipimpin sendiri pasukan pegawai kanan dari Bukit Aman," katanya.

Shamsul Iskandar berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Haziq digantung tugas serta-merta

Semalam, Shamsul Iskandar dalam sidang media di Putrajaya memaklumkan Haziq digantung tugas serta-merta dan diarahkan memberi surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Haziq digantung tugas serta-merta selepas secara terbuka mengaku merupakan individu dalam rakaman video seks bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

Shamsul Iskandar berkata, kementeriannya tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan Haziq sekiranya dia gagal menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari yang akan berakhir hari ini.