Orang asli masih perlukan keperluan asas: TPM

Wan Azizah diberi penerangan mengenai pusat pengumpulan bantuan awam yang diwujudkan di pusat operasi Bateq di pejabat Ladang Aring 10.
A
A

GUA MUSANG - Orang asli Bateq di Kuala Koh masih memerlukan beberapa keperluan asas untuk meneruskan kehidupan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara keperluan yang disarankan dan boleh disumbangkan orang awam dan NGO adalah seperti makanan dan kit kebersihan.

“Antara makanan yang diperlukan seperti beras, roti, gula, kopi, susu krimer, air mineral, kit kebersihan, selimut, kain pelekat, selipar, pengetip kuku dan ubat-ubatan.

"Bantuan boleh disalurkan ke Pusat Pengumpulan Bantuan Awam, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Felda Aring 10, Gua Musang atau Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Gua Musang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri di Pejabat Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Pusat Operasi Kuala Koh di sini.

Dalam pada itu, menurutnya, pusat pemindahan sementara di bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara, Etnobotani, Gua Musang disediakan untuk menempatkan orang asli yang sudah keluar hospital.

“Namun pergerakan mereka perlu dikawal kerana siasatan penyakit belum dikeluarkan. Anggaran awal penempatan di pusat pemindahan sementara ialah 50 orang. Jumlah maksimum yang boleh kita tempatkan ialah 400 orang.

“Selain daripada pendidikan kesihatan, sesi kaunseling juga diberikan kepada penduduk dan petugas bagi mengurangkan tekanan dan keresahan,” katanya.