Saya sedar siapa saya: Amelina

Amelina
A
A

MESKIPUN sudah memilih untuk aktif sejak 2014, namun nama Amelina semakin kembali dikenali selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kelima, tahun lalu.

Bukan sahaja tidak putus-putus menerima tawaran nyanyian, penerbit juga semakin berani untuk mengambil wanita berusia 45 tahun ini membintangi drama.

Bercerita mengenai karier lakonannya, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin berkata, pada awalnya dia menerima tawaran berlakon kerana mahu mengisi masa terluang sekiranya tidak terikat dengan tawaran nyanyian.

“Selalunya saya terlibat dengan persembahan atau jemputan menyanyi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Jadi Isnin hingga Khamis tidak buat apa-apa.

“Bila ada tawaran lakonan yang datang, saya fikir apa salahnya saya terima walaupun bagi saya berlakon agak penat sebenarnya.

“Jadi bila dah berlakon, saya tabik pada pelakon yang ada di Malaysia ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Amelina bersama enam orang anaknya.
Amelina bersama enam orang anaknya.

Tambah Amelina, dia lebih menggemari watak santai dan komedi namun tidak keberatan untuk mencuba watak lain termasuk antagonis.

“Baru-baru ini saya ada membintangi drama rantaian Patah Sayap Bertongkat Paruh dan membawakan watak antagonis. Alhamdulillah respon daripada peminat dan penonton sangat baik.

“Saya sendiri rasa dah buat sehabis baik untuk watak berkenaan,” katanya yang bakal tampil dengan drama Kariah Cak Pong di TV3 tidak lama lagi.

Ditanya mengenai tawaran berlakon filem, ibu kepada enam orang anak ini memberitahu tidak menyimpan angan-angan mahupun terburu-buru untuk ke layar lebar.

“Buat masa ini saya belum mahu memberi tumpuan terhadap karier lakonan sepenuhnya. Saya juga tidak mahu tangkap muat apa sahaja tawaran lakonan yang datang dan terburu-buru membintangi filem.

“Lagipun saya sedar siapa saya dan juga faktor usia. Nyanyian masih forte saya,” jelasnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia