Mexico guna keuntungan jual pesawat presiden sekat pendatang haram

Harga jualan pesawat itu dianggarkan bernilai RM624 juta. Gambar kecil, Lopez Obrador.
Harga jualan pesawat itu dianggarkan bernilai RM624 juta. Gambar kecil, Lopez Obrador.
A
A
A

MEXICO CITY - Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berikrar untuk menggunakan keuntungan daripada jualan pesawat presiden untuk membiayai usaha bagi mengekang kemasukan pendatang haram.

Langkah itu dibuat selepas Mexico dan Amerika Syarikat (AS) mencapai perjanjian berhubung perkara itu untuk mengelakkan perang tarif diumumkan Presiden Donald Trump sebagai pertukaran dengan usaha keras kerajaan Mexico bagi menyekat kebanjiran migrasi dari Amerika Tengah ke AS.

Ketika sidang media tersebut, beliau turut disoal tentang perjanjian dengan AS termasuk menempatkan pengawal sempadan di kawasan bersempadan dengan Guatemala.

“Tentang kos rancangan kawalan di sempadan tersebut, kami ada bajet. Peruntukan itu diperoleh daripada hasil jualan pesawat mewah presiden terbabit,” ujarnya.

Ketika kempen pilihan raya pada 2018, Lopez Obrador yang dikenali dengan nama AMLO berjanji untuk menjual pesawat tersebut yang dibeli pada harga AS$218 juta (RM908 juta) pada 2016 dan wang tersebut akan disalurkan kepada komuniti miskin.

Menurutnya, harga jualan Boeing 787 Dreamliner dinamakan sempena pemimpin gerakan kemerdekaan, Jose Maria Morelos y Pavon itu dianggarkan berjumlah AS$150 juta (RM624 juta).

Lopez Obrador memberitahu penyokongnya selepas ini beliau akan menaiki pesawat komersial.

Pesawat itu telah dijual sejak beberapa bulan lalu dan kini ditempatkan di sebuah gudang di California.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Mexico juga merancang untuk menjual 60 pesawat dan 70 helikopter milik kerajaan. - Agensi