Ijazah bukan jaminan dapat kerja

Gambar kecil, Noor Fazidah Umar
Gambar kecil, Noor Fazidah Umar
A
A
A

SABAN tahun, ada saja peningkatan jumlah graduan baharu atau lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mahupun luar negara yang masih menganggur.

Mengapa senario ini berlaku? Adakah graduan yang dilahirkan kini kurang berkualiti?

Kita sering disogokkan dengan kata-kata motivasi seperti 'belajar pandai-pandai, nanti lepas dapat ijazah dapat kerja bagus, gaji banyak.'

Namun, adakah rantaian kehidupan tersebut berjaya direalisasikan pada masa kini? Rata-rata kita lihat masih ramai graduan yang menganggur.

Usah pandang jauh, lihat saja anak kita, anak buah kita mahupun anak jiran tetangga kita. Masih ramai lagi yang tercari-cari peluang pekerjaan.

Resume yang dihantar kepada organisasi syarikat pula bukannya sedikit, jenuh juga menjaja resume, namun masih belum ada yang ‘sangkut’.

Belum rezeki. Graduan masa kini bukan lagi seperti ‘pisang goreng panas’ yang sentiasa laku dan laris, menjadi dambaan majikan.

Sebaliknya, masing-masing perlu bersaing demi merebut satu jawatan.

Artikel Berkaitan:

Kekosongan jawatan yang diiklankan cuma satu atau dua, tetapi yang memohonnya beribu!

Di sinilah tugas dan peranan para graduan untuk memasarkan diri mereka agar terlihat seperti mutiara yang paling berharga di hadapan para majikan saat ditemuduga.

Sebenarnya, pengangguran dalam kalangan graduan adalah fenomena yang berlaku di kebanyakan negara.

Antara faktor penyumbang ialah seperti kadar pertumbuhan ekonomi yang perlahan, perubahan permintaan industri yang berlaku di luar jangkaan dan graduan yang dihasilkan tidak memenuhi keperluan industri.

Melihat kepada faktor graduan tidak memenuhi keperluan industri, IPT tidak wajar dipersalahkan dalam isu kebolehpasaran graduan ini.

Memang satu cabaran besar buat IPT dalam menyediakan modal insan yang cemerlang serba-serbi.

Baik dari segi akademik, akhlak, jati diri dan sahsiahnya. IPT sendiri pada dasarnya berfungsi sebagai sebuah tempat untuk menyediakan graduan dengan pelbagai ilmu serta mempersiapkan diri graduan dalam mendepani alam pekerjaan.

Mereka telah dibekalkan ilmu pengetahuan dan diajar kemahiran yang secukupnya sebelum menamatkan pengajian.

Tetapi, apa yang berlaku selepas mereka menerima segulung ijazah adalah sebaliknya.

Mereka dilihat kurang berketrampilan, kurang berkeyakinan serta tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.

Terdapat tujuh kemahiran insaniah (KI) yang telah digariskan oleh Pengajian Tinggi yang perlu dikuasai oleh bakal graduan sebelum menempuh alam pekerjaan.

KI ini meliputi kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan.

Inilah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi.

Graduan yang dapat menguasai kemahiran insaniah dengan baik pastinya dapat menonjolkan diri mereka sebagai calon modal insan yang berkaliber serta dilihat sebagai satu nilai tambah kepada bakal majikan.

Menurut Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Shaari Abd Rahman, peluang dan masa merupakan cabaran kepada graduan baharu ini untuk memperoleh pekerjaan.

“Ia boleh ditingkatkan dan masa juga boleh dipendekkan sekiranya kena pada strategi yang tepat.

“Alasan utama pihak industri adalah antara lain bertunjang kepada tiga perkara; kurang pengalaman yang relevan, sememangnya kurang pemohon dan begitu juga kurang kemahiran teknikal mengikut keperluan industri,” ujarnya.

Graduan juga perlu kenali potensi diri dan minat masing-masing sejak peringkat sekolah dan universiti lagi agar tahu hala tuju pekerjaan yang bakal diperoleh selepas tamat pengajian.

Namun, satu yang pasti, memandangkan pekerjaan kini memang sukar diperoleh, sudah tiba masanya graduan perlu serius dalam memikirkan untuk bertukar pendirian daripada job seeker kepada job creator!