Remaja maut rempuh van

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah van dari arah bertentangan di KM24.5 Jalan Teluk Intan-Bidor lewat petang semalam.

Mangsa Mohamad Ikhwan Naim Kamarudin, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai disahkan maut di lokasi kejadian berhampiran Kampung Air Hitam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kejadian berlaku pada jam 7.56 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik ditunggang mangsa bersama sebuah van Toyota Lite Ice dinaiki 7 penumpang dan seorang pemandu.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal berkenaan seorang diri dari arah Bidor menuju ke Teluk Intan dan ketika tiba dilokasi kejadian motosikalnya telah hilang kawalan.

"Mangsa kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van yang dipandu seorang wanita berusia 42 tahun yang datang dari arah Teluk Intan menghala ke Bidor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi, akibat daripada pelanggaran berkenaan van yang membawa tujuh penumpang perempuan berusia 19 hingga 41 tahun itu terbabas ke sebelah kanan bahu jalan menghala ke Bidor.

"Pemandu van berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala, patah peha kiri dan kanan serta tangan kiri dan kanan, manakala tiga daripada tujuh penumpang van yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang mengalami cedera ringan.

"Penunggang motosikal berkenaan pula meninggal dunia dilokasi kejadian dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: