Lebih daripada satu sindiket terlibat kem penempatan Wang Kelian

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kem penempatan sementara imigran di Wang Kelian, Perlis yang ditemui pada 2015, dipercayai diwujudkan oleh lebih daripada satu sindiket pemerdagangan manusia.

ASP Mohd Yusof Ariffin dari 69 Komando berkata, beliau membuat kesimpulan berkenaan berdasarkan pengamatan dan pemerhatiannya ke atas susun atur 16 ‘base’ atau lokasi di kem berkenaan ketika menyertai operasi di kawasan itu pada Mei 2015.

"Terdapat talam makanan yang dijumpai di satu base, sementara di satu base lagi talam makanan tidak ditemui. Barangan yang dijumpai di base-base berlainan adalah berbeza. Ada base yang dikelilingi dawai kawat manakala ada yang tidak dipagar. Kubur tidak ditemui di semua base," katanya.

Menurut Mohd Yusof, yang merupakan saksi ke-45 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian itu berkata, barangan lain yang ditemui di 16 base yang diperiksa ialah beras yang dibeli dari Thailand, nasi yang ditinggalkan lebih empat atau lima hari, anak patung beruang dan pakaian.

Turut ditemui di sebuah base ialah sebuah khemah yang dijadikan surau dan nama surau berkenaan ditulis sebagai ‘Musafirin’.

Menjawab soalan Pengerusi RCI Tun Ariffin Zakaria mengenai bagaimana kem penempatan yang sedemikian besar tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa lebih awal, Mohd Yusof berkata seorang yang normal tidak akan masuk ke hutan tebal berkenaan tanpa sebab.

"Lagipun di sebelah Malaysia, bahagian depan hutan itu ialah Taman Negeri Perlis yang memerlukan permit untuk masuk. Dari gigi hutan sehingga ke kawasan kem di tengah hutan jaraknya lebih kurang 35 kilometer dengan jalan zig-zag. Untuk sampai ke kawasan berkenaan memerlukan kemahiran hutan yang sangat tinggi kerana ada banyak halangan semula jadi ditambah dengan kontur tanah yang sangat curam," katanya.

Ketika diminta memberikan cadangan bagi meningkatkan kawalan di kawasan tersebut, Mohd Yusof berkata, trek balak yang ditinggalkan sebelum ini boleh dibersihkan bagi membolehkan pasukan penguatkuasa menjalankan rondaan menggunakan motosikal Scrambler tiga kali sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk A Aziz A Rahim dalam keterangannya berkata, tidak ada bukti yang menyokong dakwaan berlaku percubaan bersama menutup siasatan oleh mana-mana pegawai Polis DiRaja Malaysia mahupun agensi penguatkuasaan lain dalam kes penemuan kem penempatan itu.

"Laporan media juga tidak menunding jari kepada mana-mana pegawai yang dikatakan cuba menutup kes itu. Tindakan perlu diambil ke atas pegawai yang dikenal pasti bertanggungjawab menutup kes berkenaan. Tidak boleh hukum satu pasukan polis," katanya.

RCI akan bersambung Isnin depan. - Bernama