Dasar pengurangan penyedut minuman plastik di Selangor lulus

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan dasar pengurangan penyedut minuman plastik di Selangor pada setiap hari akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pelaksanaan dasar itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor semalam.

Menurutnya, dasar tersebut menggariskan pelaksanaan larangan penyediaan penyedut minuman plastik secara automatik bagi penyediaan minuman di semua premis-premis makanan/minuman dan restoran di seluruh negeri ini.

"Penyedut minuman plastik juga dilarang disediakan di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan sebaliknya hanya diberikan atas permintaan pelanggan untuk setiap minuman yang dipesan.

"Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan syarat ini dalam permohonan lesen perniagaan semasa pengusaha mengemukakan permohonan baru atau memperbaharui lesen perniagaan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Loy Sian berkata, dasar itu adalah selaras kempen bebas plastik sedang dilaksanakan di Selangor dan selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik (single-use plastics) seperti beg plastik, polistirena, penutup/pelapis makanan plastik dan bahan-bahan plastik pakai-buang.

"Objektif utama dasar pengurangan penggunaan penyedut minuman plastik ini adalah untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk di negeri ini tentang kesan jangka panjang penggunaan plastik terutama terhadap kesihatan dan alam sekitar.

"Pelaksanaan dasar itu dijangka akan dapat membantu kerajaan dalam mengawal masalah pencemaran alam sekitar yang semakin ketara dan menggalakkan usaha kitar semula/penggunaan semula serta menjaga kebersihan alam sekitar di Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan melalui PBT akan memantau dan memastikan kejayaan pelaksanaan dasar ini, sementara pengusaha premis makanan/minuman atau restoran digesa memberikan kerjasama dan bantuan supaya objektif pengurangan penggunaan plastik di negeri ini tercapai.

"Kita bangga kerana terdapat ramai pengusaha premis makanan/minuman atau restoran yang mengambil inisiatif dan langkah ke depan daripada kerajaan dalam melaksanakan kempen atau usaha untuk mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik.

"Ada premis yang tidak memberi penyedut minuman plastik secara automatik kepada pelanggan, menggunakan penyedut minuman plastik kertas atau buluh sebagai penggantian termasuk mengedar penyedut minuman 'stainless steel' secara percuma kepada orang awam," katanya

Loy Sian berkata,orang ramai digalakkan untuk membawa bekas makanan/minuman dan penyedut minuman yang boleh diguna semula dan pihaknya akan sentiasa meningkatkan usaha ke arah memastikan negeri ini lebih bersih, hijau serta mesra alam.