Tak sempat melaram kereta curi

Antara kereta dan barangan yang dirampas daripada suspek.
A
A

KLUANG - Polis Kluang berjaya menyelesaikan satu kes kejadian samun dan curi kereta di Jalan Hujing 3, Sri Lalang di sini dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah menerima panggilan dari seorang wanita berumur 28 tahun yang memaklumkan empat lelaki memecah masuk rumahnya.

"Mangsa memaklumkan dua daripada suspek menutup muka memecahkan jeriji tingkap di bahagian dapur rumahnya sebelum melarikan sebuah kereta, barangan kemas, beg tangan yang mengandungi wang tunai dan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM86,000.

"Bertindak atas maklumat awal, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kluang membuat serbuan dan melakukan tangkapan kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama di sekitar daerah ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Abduh berkata, dalam serbuan tersebut, enam lelaki berusia antara 23 hingga 29 tahun telah ditangkap dan hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan pemeriksaan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

Katanya, turut ditemui semula ialah barangan kemas, dua kereta yang dilaporkan hilang, wang tunai tempatan dan asing, telefon bimbit pelbagai jenis, kad kredit dan pihaknya merampas dua parang serta kuku kambing dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM200,000.