Lelaki mengamuk mahu cederakan ibu kandung

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Angkara pengaruh dadah, seorang lelaki mencederakan ibu kandungnya sendiri malah mengugut mahu wanita itu mati di tangannya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Penaga di sini, petang semalam.

Kejadian yang berlaku jam 4 petang itu mengakibatkan warga emas berusia 60 berkenaan trauma dan ketakutan selepas dia cuba dirempuh anaknya yang berusia 36 tahun dengan motosikal selain dicekik suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berkenaan yang 'naik hantu' turut mengugut ibunya dengan mengatakan tiada siapa yang akan menyelamatkannya.

Bimbang sesuatu lebih buruk berlaku, mangsa bertindak menggigit tangan anaknya sebelum berjaya melepaskan diri dan datang ke balai membuat laporan polis.

"Bertindak atas laporan polis yang diterima, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara telah berjaya memberkas suspek di kawasan rumahnya.

"Hasil siasatan polis mendapati kejadian berkenaan bukanlah kali pertama berlaku malah suspek dikatakan kerap mengamuk di rumah berpunca daripada pengambilan dadah,"katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian punggung akibat pergelutan dengan suspek semasa mahu melepaskan diri.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morphin dan suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini direman selama empat hari untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.