Houthi bedil lapangan terbang di Arab Saudi 26 cedera

Peta menunjukkan lokasi lapangan terbang tersebut yang dibedil pemberontak Houthi hari ini.
Peta menunjukkan lokasi lapangan terbang tersebut yang dibedil pemberontak Houthi hari ini.
A
A
A

RIYADH - Kira-kira 26 orang awam cedera selepas kumpulan pemberontak Yemen melancarkan misil menyasarkan lapangan terbang di barat daya Arab Saudi hari ini.

Jurucakap Gabungan untuk Kembalikan Legitimasi di Yemen, Kolonel Turki almalki berkata, peluru berpandu dilancarkan pemberontak Houthi itu mengenai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di wilayah Asir.

"Kesemua mangsa cedera adalah rakyat asing berbeza negara termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak. Sebanyak lapan kes telah dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala 18 cedera ringan dirawat di lokasi kejadian," ujarnya.

Difahamkan, serangan itu juga menyebabkan kemusnahan di bilik istirehat lapangan terbang tersebut.

Menurut almalki, pasukan keselamatan sedang menyiasat jenis projektil yang digunakan dalam kejadian tersebut selepas kumpulan pemberontak disokong Iran terbabit mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan terbabit.

"Dalam berdepan serangan ganas dan perlanggaran tidak bermoral Houthi ini, pasukan gabungan tentera Arab akan mengambil langkah segera untuk memerangi kumpulan pemberontak terbabit dan memastikan perlindungan orang awam.

"Serangan ganas menyasarkan orang awam boleh dianggap sebagai jenayah perang," tegasnya.

Dalam satu kenyataan, pemberontak Houthi mengesahkan mereka melancarkan serangan itu untuk mempertahankan diri daripada sekatan udara dan laut yang telah berlarutan selama lima tahun di Sanaa.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, sistem pertahanan udara Arab Saudi turut memintas dua dron dilancarkan pemberontak ke Khamis Mushait yang terletak di timur Abha. - Agensi