PKR tolak politik jijik, keji: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulangi komitmen menolak politik jijik dan keji yang berlegar dalam negara pada waktu ini, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Biro Politik PKR, Anwar menegaskan Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada perihal pembangunan ekonomi dan sosial negara dan mengelak dari terheret ke dalam ‘kancah yang hina’.

“Biro Politik PKR telah bertemu petang ini untuk membincangkan beberapa perkara termasuk isu dakwaan dibuat seorang anggota PKR bernama Muhammad Haziq Aziz terhadap Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“PKR mengulangi komitmen parti untuk menolak politik jijik dan keji yang disaksikan pada waktu ini. Negara perlu tumpu soal pembangunan ekonomi dan sosial dan tidak terheret ke dalam kancah yang hina.

“PKR berharap Datuk Seri Azmin dan keluarga akan tabah dan bersabar dalam menghadapi dugaan besar ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, sebentar tadi.

Tambah beliau, PKR juga menyokong penuh siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes tersebut dan berharap proses tersebut akan dapat dilakukan dengan adil dan teliti.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini...’ – Azmin

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan buat masa ini PKR belum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan bakal diambil terhadap Muhammad Haziq yang kini merupakan Setiausaha Sulit kepada seorang timbalan menteri.

Artikel Berkaitan:

“Kita biarkan timbalan menteri untuk selesaikan dan umumkan apabila masa sesuai. Pada setakat ini kita buat keputusan ini dulu.

“Kita akan bersidang lagi dalam masa singkat kerana kita lihat perkara ini nampak belum berkeseudahan jadi kita harus teliti lagi. Ada juga dapat input daripada peguam dan kita akan bincang semula dalam beberapa hari lagi,” ujarnya.

Tegas beliau, perkara paling penting buat masa ini adalah menyerahkan kes tersebut kepada PDRM dan SPRM.

Sementara itu, Anwar mengesahkan Ahli Parlimen Gombak itu tidak menghadiri mesyuarat pada petang tadi kerana inginkan sedikit ruang buat dirinya.

“Beliau tidak hadir mesyuarat kerana ingin ruang tapi beliau ada berbincang dengan saya,” katanya.

Tambah Anwar, beliau sempat berbincang dengan Mohamed Azmin melalui telefon semalam dan menzahirkan perasaan simpati kepadanya dan keluarga.

“Saya bincang dengan Azmin semalam melalui telefon sebelum saya berjumpa Perdana Menteri pada 2.30 petang semalam. Saya zahirkan simpati kepadanya dan keluarga, beritahu beliau apa yang parti boleh bantu, kita akan bantu.

“Beliau minta maaf dan akan serahkan kepada Biro Politik untuk tentukan keputusan. Beliau merasakan lebih baik keputusan dibuat tanpa kehadirannya (dalam mesyuarat petang tadi),” katanya.