‘Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini...’ – Azmin

Mohamed Azmin Ali
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Selepas dua hari video lucah mengaitkan dirinya tersebar di media sosial, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam terhadapnya.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Malah, beliau yakin kerja jijik itu telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohamed Azmin berhubung itu tersebut:

SAYA merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya.

Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politics. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni.

Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini."

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Hal Ehwal Ekonomi

12 Jun 2019


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.