X

Kindly register in order to view this article
!

Segerakan langkah atasi masalah Orang Asli Bateq

Ramli Mohd Noor
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan harus mengambil pendekatan dan langkah segera dalam mengatasi masalah yang berlaku di Kuala Koh, Kelantan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor berkata, tindakan pemantauan secara berterusan sangat perlu memandangkan insiden berkenaan sudah meragut 14 nyawa serta puluhan lagi sedang mendapatkan rawatan di hospital.

"Saya harap kerajaan memandang serius dan meneliti sebaiknya mengenai perkara ini demi kebajikan Orang Asli Batek di kawasan itu. Insiden ini sudah tentu beri kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kawasan perkampungan orang asli berhampiran termasuklah di Pahang.

"Jadi, saya minta kerjasama Kerajaan Persekutuan mengambil langkah perlu pada kadar segera, selain Kementerian Kesihatan mencari jalan untuk mencegah penyebaran wabak di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ramli yang juga Orang Asli Semai dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands pada PRK Parlimen itu, Januari lalu adalah orang asli pertama dipilih sebagai Ahli Parlimen turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Nasional yang diumumkan pada Konvensyen Orang Asli di Putrajaya, April lalu.

"Banyak perancangan diumumkan pada konvensyen berkenaan dan saya rasa mereka (Kerajaan Persekutuan) perlu mula melaksanakan (janji) setiap perkara yang ada dalam pelan berkenaan," katanya.

"Saya menasihatkan masyarakat orang asli di Pahang sentiasa memantau kesihatan keluarga bagi mengelak insiden di Kuala Koh berlaku di Pahang.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke sidang Parlimen Julai ini bagi mendapatkan penjelasan daripada kementerian berkaitan berhubung isu yang berlaku di perkampungan orang asli di Gua Musang, Kelantan itu.

"Saya sudah menyediakan pelbagai soalan yang akan dibawa ke Parlimen Julai ini demi mendapat jawapan untuk orang asli di Gua Musang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!