Mexico diberi tempoh 45 hari

Marcelo Ebrard
Marcelo Ebrard
A
A
A

MEXICO CITY - Menteri Luar Mexico memaklumkan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan negara Amerika Latin untuk membendung kemasukan pendatang haram.

Pengumuman itu dibuat Marcelo Ebrard semalam berikutan Mexico diberi tempoh selama 45 hari untuk mengurangkan jumlah kemasukan pendatang haram dari negara itu ke Amerika Syarikat (AS) atau bakal berdepan tarif seperti diumumkan Presiden Donald Trump.

Menurut Ebrard, kerajaan Mexico akan cuba mengukuhkan sempadan selatan negara itu bagi mengurangkan kebanjiran migran seperti diminta Trump.

Walaupun tiada sasaran khusus ditetapkan, beliau menyatakan langkah itu akan dinilai pada pertengahan bulan depan.

“Jika jumlah itu tidak berkurangan dalam tempoh tersebut, satu perbincangan untuk mencari penyelesaian serantau akan diadakan bersama Brazil, Panama dan Guatemala yang menjadi titik transit golongan itu,” ujarnya.

Tambahnya, perunding AS mahu Mexico membuat komitmen ‘migran sifar’ melintasi sempadan, namun perkara itu didakwa adalah mustahil.

Mexico telah menempatkan Pengawal Negara bermula kelmarin dengan 6,000 anggota tentera tambahan dikerah ke kawasan bersempadan Guatemala.

Dalam perkembangan lain, Trump telah memperbaharui ugutan untuk mengenakan semula tarif ke atas Mexico walaupun selepas perjanjian dicapai menerusi rundingan antara kedua-dua negara pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi Twitter, Trump mendakwa ia masih memerlukan kelulusan Kongres Mexico tentang ‘peruntukan rahsia’ dalam perjanjian itu.

“Jika atas sebab tidak diluluskan, tarif akan dikenakan semula!” tegasnya.

Sebelum ini, Trump mengancam melancarkan perang tarif dengan mengenakan cukai import sebanyak lima peratus ke atas barangan Mexico dan kadar itu akan meningkat sehingga 25 peratus menjelang Oktober depan.

Ugutan itu ditangguhkan selepas AS-Mexico mencapai kesepakatan untuk membendung aliran pendatang haram. - Agensi