Vaksin pneumokokal, influenza penting cegah pneumonia: Pakar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan vaksin pneumokokal dan influenza sangat penting bagi mengelakkan daripada terkena jangkitan radang paru-paru atau pneumonia, kata Pakar Perunding Perubatan Respiratori Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ahmad Izuanuddin Ismail.

Dr Ahmad Izuanuddin berkata risiko penyakit berjangkit seperti radang paru-paru itu lebih berisiko tinggi kepada kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik dan menyarankan bayi berusia bawah dua tahun mengambil vaksin pneumonia itu bagi pencegahan awal.

"Warga emas berusia 65 tahun ke atas dan pesakit kronik turut disarankan mengambil vaksin itu. Bayi dan kanak-kanak juga dinasihatkan mengambil flu vaccine (vaksin influenza) walaupun vaksin itu adalah pilihan. Saya difahamkan vaksin pneumokokal sepatutnya mandatori untuk yang berusia bawah dua tahun, tapi masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Pneumonia ini boleh menjadi serius hingga mengancam nyawa terutama di kalangan bayi, kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik atau sistem imunisasi yang lemah," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Katanya antara simptom awal radang paru-paru adalah batuk, sama ada berkahak atau tidak, sakit dada terutama ketika bernafas atau batuk, demam berpeluh, atau menggigil, sukar bernafas, perubahan tahap kesedaran (pengsan atau koma) terutama bagi warga emas.

Dr Ahmad Izuanuddin berkata pneumonia adalah jangkitan kuman yang menyebabkan radang (bengkak) kepada saluran pernafasan terutama alveoli di mana pertukaran gas dari udara ke dalam darah berlaku di dalam paru-paru.

"Ruang alveoli ini boleh mengandungi cecair atau nanah kesan daripada jangkitan tersebut yang boleh menyebabkan pesakit mengalami batuk berkahak, demam, menggigil, dan sukar bernafas,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: