Muat naik status tentang 'mati' di Instagram sebelum maut

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari keretanya yang remuk di bahagian hadapan.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari keretanya yang remuk di bahagian hadapan.
A
A
A

KEMAMAN - Seakan-akan tahu ajalnya semakin dekat, seorang pelajar kolej pernah memuat naik status tentang 'mati' sebelum maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya merempuh sebatang pokok.

Lebih memilukan, mangsa, Muhamad Syawal Adnan Deraman, 21, dijemput ajal pada bulan Syawal yang menginjak hari keenam, hari ini.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari di Jalan Felda Neram 1-Jalan Felda Neram 2 di Felda Neram 1 semasa mangsa dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke rumahnya di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru, di sini.

Menerusi Instagramnya pada 11 Mac lalu, mangsa membuat hantaran berbunyi 'Celikkan mata aku suatu masa pasti, jika tiada khabar anggap saja aku mati'.

'Paparan layar hantaran itu turut dikongsi kenalan mangsa di beberapa laman sosial dan aplikasi WhatsApp selepas kemalangan menimpa mangsa turut tular di media sosial.

Hantaran yang dibuat Muhamad Syawal di Instagram miliknya pada 11 Mac lalu yang menyebut tentang mati.
Hantaran yang dibuat Muhamad Syawal di Instagram miliknya pada 11 Mac lalu yang menyebut tentang mati.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu mangsa bersendirian hilang kawalan lalu terbabas ke kaki lima sebelah kanan jalan sebelum terlanggar sebatang pokok.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang merupakan pelajar Kolej Yayasan Pahang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh yang begegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan," katanya.

BBP Cheneh yang menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 1.33 petang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Selepas dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Cheneh Baru namun mangsa disahkan telah meninggal dunia ketika pemeriksaan dilakukan.

Mohd Haki berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.