MOF nafi dakwaan bina dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menyangkal dakwaan bahawa terdapat dua syarikat mencadangkan pembinaan dua projek lapangan terbang di Pulau Pinang yang bernilai belasan bilion ringgit.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, dakwaan itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan industri komunikasi dan pengangkutan kerana tidak dinyatakan pihak yang telah menghadiri atau menerima cadangan-cadangan tersebut. "Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan.

"Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga telah membuat kenyataan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak tahu tentang perkara ini," katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Hari ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris dalam laporan muka depannya menyatakan bahawa dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan tersebut akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulai Pinang (PIA) di Bayan Lepas.

Cadangan itu juga dikatakan bakal menggugat cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang dibiayai menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Ekoran daripada itu, Guan Eng berkata, kelulusan daripada Pulau Pinang melibatkan perkara itu adalah kritikal kerana ia melibatkan isu tanah dan beliau meminta supaya akhbar itu membuktikan laporan terbabit yang disifatkan sebagai satu spekulasi tidak berasas serta tidak adil.

"Ini memberikan tanggapan negatif bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan Kerajaan Negeri atau rakyat dengan mempertimbangkan projek sebesar ini yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah atau 5,000 hektar tanah yang ditebus guna dari laut.

"Saya ingin nyatakan di sini kedudukan Kerajaan Persekutuan berkenaan hal ini seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2019, yang secara jelas menyatakan mahu memperbesarkan PIA sedia ada kepada kapasiti 16 juta penumpang setahun daripada 6.5 juta penumpang setahun pada waktu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, peluasan PIA akan dilakukan melalui dua fasa dengan jumlah penumpang yang dicadangkan sebanyak 16 juta setahun diyakini dapat memenuhi kapasiti semasa PIA iaitu sebanyak lapan juta penumpang setahun sehingga tahun 2030.

"Selepas itu, masih terdapat ruang untuk memperbesarkan lagi PIA di masa hadapan kepada 20 juta penumpang setahun.

"Manakala untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim pula, Kerajaan Persekutuan masih menunggu sebarang cadangan pembinaan melalui PFI, yang tidak memerlukan perbelanjaan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.