Empat penagih curi kelapa, sawit dicekup

Nor Azmi (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
Nor Azmi (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua beradik dan seorang adik ipar salah seorang suspek serta seorang rakan mereka ditahan polis selepas terbabit kes menceroboh dan mencuri kelapa muda dan buah sawit di sebuah kebun di Kampung Perenggan, di sini, 25 Mei lalu.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari pemilik kebun yang mendapati terdapat banyak buah kelapa muda ditinggalkan di kebunnya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa turut mendapati suspek mengait beberapa buah sawit yang ditanam di kebun berkenaan.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Perenggan, Sabak Bernam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Katanya, serbuan jam 12.05 tengah malam, hari ini dilakukan ketika kesemua suspek berusia 28 hingga 43 tahun berada dalam keadaan khayal dipercayai menagih dadah.

"Hasil pemeriksaan sekitar rumah itu, polis merampas peralatan mengait kelapa dan buah sawit, motosikal jenis Suzuki Smash bersama gerabak, 20 biji kelapa muda.

"Turut dirampas dalam serbuan itu, tiub lutsinar mengandungi dadah disyaki heroin dan syabu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati kesemua suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau narkotik dan jenayah.

"Kesemua suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.