Kelantan sedia bantu JAKOA urus kebajikan orang asli

Mohd Amar (kanan) ketika menjawab soalan wartawan di JKR 10, di sini hari ini.
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak terutamanya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membantu menguruskan kebajikan masyarakat orang asli yang berada di Kuala Koh.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, buat masa ini semua urusan telah dilakukan JAKOA dengan bertindak membawa mangsa keluar, memberi makanan dan sebagainya.

“Kita kerajaan negeri pun kena pergi (bertindak) melalui JAKOA juga, kita tidak boleh pergi sesuka hati sebab setiap orang ada bidang tugas dan tanggungjawab sendiri. Jadi kita akan bergerak ikut bidang tugaslah.

“Cuma kita beri kerjasama penuh kepada JAKOA dalam semua bidang. Kita sejak dahulu lagi memang jalan seiring dengan JAKOA, tapi JAKOA lah yang kena pandu, sebab ia ditubuhkan untuk menjaga orang asli ini,” katanya kepada pemberita di JKR10, di sini hari ini.

Beliau difahamkan kebanyakkan orang asli tersebut telah bergerak sendiri dan ada juga yang melalui JAKOA untuk ke tempat lebih baik.

Menurutnya, semua pihak perlu menghormati budaya dan sikap kaum itu yang suka berpindah-randah, maka sensitiviti kaum itu tetap perlu dijaga.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan mengambil kira tiada peruntukan tambahan yang disediakan untuk kes tersebut namun kerajaan bersedia membantu jika berlaku sebarang perubahan dan keadaan selepas ini.

Mengulas mengenai cadangan Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas forensik, Mohd Amar berkata, perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa memandangkan kerajaan persekutuan telah pun mempunyai jabatan kesihatan negeri dan polis untuk bertindak.

“Mereka (agensi) akan buat sendiri. Tidak perlu tubuh jawatankuasa pun, tiada apa yang disembunyikan. Cuma maklumat ini agak lambat sampai kepada pihak berwajib. Kalau sampai awal, pihak JAKOA dan jabatan kesihatan boleh ambil tindakan awal.

“Bila lambat, maka tindakan pun lambatlah. Kita pun baca dalam akhbar mengatakan mereka (orang asli) kebumi cara mereka dan tidak rujuk pada kita. Kalau beritahu dan rujuk pada kita, maka kita boleh ambil tindakan.

“Sekarang ini JAKOA sudah turun, jabatan kesihatan dan polis pun sama, maka kita serahkan kepada mereka. Kita tidak boleh nak arah mereka buat itu ini. Mereka tahu tugas mereka. Kita tunggulah, sebab itu kita sekarang ini sedang tunggu laporan lengkap, rasmi dari agensi yang terlibat.

“Dr Izani Husin sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan di antara mereka yang terawal melawat ke tempat tersebut untuk mendapatkan makumat lanjut mengenai penyakit yang dialami orang asli itu di Hospital Gua Musang.

“Kita sudah dapat makluman awal dan sudah bertindak apa yang boleh kita lakukan. Cuma sekarang ini tunggu maklumat penuh dari agensi pula,” katanya.