Tiada laporan masalah pernafasan orang asli di Pahang

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang mengesahkan tidak menerima laporan rasmi berhubung masalah pernafasan di perkampungan orang asli di negeri ini, termasuk di daerah Jerantut.

Pengarahnya, Johari Alwi berkata, tahap kesihatan masyarakat orang asli sentiasa dipantau secara berkala oleh jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Pahang yang turut mempunyai pasukan bergerak perubatan orang asli.

Pasukan itu, menurut beliau dilengkapi doktor dan jururawat yang akan berkunjung ke kawasan perkampungan orang asli pedalaman di semua daerah mengikut jadual, bagi melakukan pemeriksaan perubatan.

"Bagaimanapun, sebagai langkah berwaspada, kami akan membuat saringan kesihatan di Kampung Keniam di Taman Negara, Kuala Tahan Jerantut yang terletak di sempadan antara Pahang dan Kelantan.

"Di Pahang, penjagaan kesihatan masyarakat orang asli bukan hanya melibatkan Jabatan Kesihatan negeri, tetapi juga mendapat sokongan daripada Hospital Orang Asli di Gombak," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Johari berkata, di Pahang terdapat 262 perkampungan orang asli dengan 78,636 penduduk dan di Jerantut sahaja terdapat 12 perkampungan dengan jumlah 3,561 penduduk.

Beliau menambah, terdapat seramai 906 Orang Asli suku Batek di daerah Jerantut dan Lipis manakala di Taman Negara ramai antara mereka yang mempunyai saudara di Gua Musang, menjadikan bukan suatu yang luar biasa untuk mereka bergerak di dua daerah terbabit.

"Bagaimanapun, kami belum menerima laporan rasmi ada penduduk suku Batek di Taman Negara yang mempunyai masalah pernafasan seperti yang dilaporkan di perkampungan Orang Asli Kuala Koh namun langkah berjaga-jaga telah pun diaktifkan di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan mereka (di Taman Negara) didapati mempunyai masalah kesihatan kulit namun rawatan bagi masalah itu sentiasa dilakukan oleh pejabat kesihatan daerah," katanya.

Johari berkata, pejabat kesihatan daerah Jerantut juga dijadualkan melakukan lawatan pemeriksaan perubatan di Kampung Kuala Sat, yang turut dihuni masyarakat Orang Asli suku Batek pada Khamis ini. - Bernama