Meninggal dunia selepas selesai beri salam solat Maghrib

Fadzil disahkan meninggal dunia selepas menunaikan solat Maghrib, semalam.
Fadzil disahkan meninggal dunia selepas menunaikan solat Maghrib, semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang sub inspektor polis sempat berpaut pada anaknya sebaik sahaja selesai memberi salam solat Maghrib sebelum diserang sesak nafas dan disahkan meninggal dunia, semalam.

Biro Masjid Al Wajdi Bukit Selambau, Shahabudin Omar berkata, ketika itu, anak lelaki Allahyarham Fadzil Ahmad, 60, yang solat di bahagian belakang meluru ke arah ayahnya apabila tiba-tiba anggota polis tersebut mengadu sakit.

Shahabudin yang turut berada di masjid menjelaskan, Allahyarham sempat berpaut pada anaknya sebelum rebah.

"Masa itu semua jemaah baru selesai beri salam sebelum terdengar laungan Allahyarham menjerit memanggil anaknya meminta tolong.

"Dia juga sempat diajar mengucap oleh anaknya di samping jemaah lain turut membantu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Selambau.

Shahabudin yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berkata, urusan penghantaran jenazah ke rumah keluarga di Tasek Gelugor, Pulau Pinang diuruskan pihak masjid.

"Sebaik sahaja ahli keluarga sampai dan berbincang, mereka membuat keputusan untuk hantar jenazah ke Tasek Gelugor, kira-kira jam 9.05 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Fadzil merupakan anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Sik dan kini sedang bercuti untuk tarikh persaraan pada 14 Julai 2019.

Beliau juga merupakan Bekas Ketua Balai Polis Sungai Kob, Kulim.

Anak sulung mangsa, Mohd Hafiz Fadzil, 35, berkata, arwah singgah di Masjid Al Wajdi Bukit Selambau untuk menunaikan solat Maghrib bersama adiknya.

"Semuanya berlaku dengan pantas, saya reda dengan pemergian Allahyarham meskipun masih terkejut,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.