Pembayaran zakat digital di Melaka meningkat

Perkembangan teknologi yang semakin pesat dan cepat dalam kehidupan khususnya generasi Y, merupakan faktor utama yang mempengaruhi kenaikan pembayaran zakat secara digital.
Perkembangan teknologi yang semakin pesat dan cepat dalam kehidupan khususnya generasi Y, merupakan faktor utama yang mempengaruhi kenaikan pembayaran zakat secara digital.
A
A
A

MELAKA - Pembayaran zakat secara digital di negeri ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, sekali gus memberi impak positif terhadap kenaikan kutipan zakat di Melaka.

Ketua Pengarah Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata, peratus kenaikan pembayar zakat secara atas talian juga mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Katanya, perkembangan teknologi yang semakin pesat dan cepat dalam kehidupan khususnya generasi Y, merupakan faktor utama yang mempengaruhi kenaikan pembayaran zakat secara digital.

"Kecenderungan generasi Y melibatkan diri dalam ibadat zakat menunjukkan perkembangan positif, berdasarkan kepada jumlah pembayar zakat yang majoritinya terdiri dari generasi Y semakin meningkat.

"Kita sangat bangga dengan perkembangan ini dan menganggap bahawa semangat membudayakan zakat oleh generasi milenial ini semakin baik," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, pelbagai kemudahan pembayaran disediakan bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan tuntutan wajib ini.

Katanya, disebabkan pembaharuan teknologi dan inovasi, kaedah pungutan zakat turut melalui pelbagai proses pembaharuan serta penambahbaikan, termasuk mengaplikasikan kaedah e-kutipan zakat, iaitu pembayaran zakat secara atas talian.

Namun, antara isu yang hangat diperkatakan adalah ijab dan qabul, yang bermaksud suatu perbuatan untuk menunjukkan suatu keredhaan dalam berakad antara dua orang atau lebih.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat ulama yang menjelaskan bahawa ijab qabul di dalam penyerahan harta zakat sesungguhnya bukan hal yang mutlak menjadi syarat, malah ia sah apabila tidak ada ijab qabul dalam zakat.

"Seseorang pembayar zakat online hanya perlu menyertakan niat untuk membayar zakat sewaktu menekan butang komputer yang menunjukkan bahawa ia bersetuju untuk membayar zakat tersebut.

"Bagaimanapun, pihak kami tetap akan memaparkan aqad tersebut di hadapan skrin komputer dan pembayar bolehlah membaca aqad tersebut dan ia juga diterima sebagai aqad yang sah kerana ada kaedah yang menyebut, yang bermaksud tulisan itu dianggap sebagai percakapan di dalam aqad," katanya.

Kini, kebanyakan masyarakat tidak lagi menggunakan cara konvensional untuk melunaskan zakat mereka, sebaliknya melalui kaedah yang paling cepat dan mudah iaitu atas talian, sejak tahun 2016 lalu.

Ketiadaan lafaz niat dan aqad zakat, tidaklah memberi apa-apa kesan terhadap sahnya pembayaran tersebut, kerana itifaq ulama menyatakan bahawa niat itu letaknya di hati dan bukan menjadi syarat sah zakat.