Armada Kelantan gesa tubuh task force

Seorang kanak-kanak orang asli termenung memikirkan nasib dirinya. Gambar kecil, Asran.
Seorang kanak-kanak orang asli termenung memikirkan nasib dirinya. Gambar kecil, Asran.
A
A
A

KOTA BHARU - Armada Bersatu Kelantan menggesa satu ‘task force’ melibatkan kerajaan negeri dan pusat diwujudkan bagi menjawab segala kekhuatiran yang berlaku melibatkan kematian orang asli di Kuala Koh.

Ketuanya, Asran Alias berkata, ini kerana kematian dua daripada 14 Orang Asli Bateq di Kuala Koh akibat pneumonia sangat menyedihkan dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Jadi katanya, kejadian seumpama itu juga perlu dilihat dan ditangani secara serius sebagaimana yang dilakukan kerajaan semasa pencemaran di Sungai Kim Kim, Johor dan Sungai Rui, Perak.

“Kematian yang berlaku semestinya disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang memerlukan siasatan segera.

“Aktiviti perlombongan juga perlu dihentikan segera sehinggalah siasatan penuh diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, lokasi kejadian juga merupakan salah satu tempat perlombongan Manganese terbesar di Malaysia dan perkara itu telah menimbulkan pelbagai andaian.

“Terutamanya berkaitan dengan pencemaran akibat aktiviti perlombongan sama ada mempunyai lesen operasi mahupun tidak.

“Kami difahamkan kawasan ini mempunyai hutan simpan yang persempadanan dengan Taman Negara. (Jadi) penglibatan pelbagai kementerian sangat diperlukan dalam menjalankan siasatan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau turut mendesak diadakan sidang Parlimen khas bagi membentangkan laporan berkaitan dengan kematian yang dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

Bahkan katanya, dalam krisis itu juga, Kerajaan Negeri Kelantan perlu tampil menjelaskan segala kelulusan untuk tujuan perlombongan yang diberikan seperti keluasan dan tempoh operasi.

Dalam perkembangan sama, Asran turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail atas ketegasan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkaitan isu tersebut.

Beliau juga turut menyokong inisiatif awal Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Senator Datuk Husam Musa dalam merungkaikan penyakit misteri dihadapi orang asli di Kuala Koh sebagaimana laporan akhbar sebelum ini.

Selain itu, pihaknya juga menyeru supaya bantuan awal dihulurkan kepada orang asli di sana terutama menyediakan air bersih dan klinik kesihatan bergerak.

Katanya, bantuan tersebut penting bagi mengurangkan risiko penyakit terus merebak tanpa kawalan.